BERITA UTAMANASIONAL

Jawatankuasa khas kaji kawalan vape

 

KUALA LUMPUR, 27 Jun : Kementerian Kesihatan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji isu berkaitan kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut diketuai timbalannya, Dr Lee Boon Chye, diputuskan pada measyuarat pasca Kabinet kementerian semalam.

“Jawatankuasa ini untuk memberi komitmen menangani isu vape dengan lebih serius,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini, hari ini.

Konvensyen itu dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama tentang kesan sampingan merokok yang turut menjadi penyumbang utama kematian kepada kira-kira enam juta penduduk di seluruh dunia.

Bercakap mengenai perkembangan larangan merokok, Dr Dzulkefly berkata bilangan premis yang telah diperiksa dari tempoh Disember hingga 2 Jun lalu, termasuk Ops Khas yang dijalankan pada 24 dan 25 Mei adalah sebanyak 111,042 dan daripada jumlah itu, 26,357 adalah premis tanpa tanda larangan merokok.

Sejumlah 29,650 notis amaran juga telah dikeluarkan dan sebanyak 227,770 aktiviti pendidikan larangan merokok yang telah dijalankan, juga bagi tempoh yang sama, katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata usaha kementerian memperluaskan kawasan larangan merokok seharusnya dilihat sebagai satu pendekatan yang holistik untuk membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, bukan setakat lanjutan tempoh penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2019, malah peningkatan jumlah fasiliti Perkhidmatan Berhenti Merokok adalah bukti komitmen kerajaan untuk membantu golongan perokok bebas daripada amalan merokok. -BERNAMA


Pengarang :