Selangorkini
JOHOR BAHRU, 19 Jun — Pemain JDT Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak menampan cubaan pemain Selangor Endrick Dos Santos Parafita pada Perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin hari ini. Kedudukan separuh masa kedua JDT 3-1 Selangor. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

JDT hampiri kejuaraan bersejarah Liga Super

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya dipisahkan enam mata daripada mencipta sejarah, menjulang kejuaraan Liga Super kali keenam berturut-turut, selepas menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan JDT mengumpul 43 mata, di kedudukan teratas carta liga dengan baki lima perlawanan, meninggalkan Pahang dengan perbezaaan 13 mata di kedudukan kedua, selepas 16 perlawanan.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad kendalian Benjamin Mora menunjukkan taring ‘Harimau Selatan’ apabila mendahului 2-0 seawal minit ke-12 menerusi jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-10 diikuti gol jaringan Leandro Velázquez.

Pemain tengah Selangor, Mohd Khyril Muhymeen Zambri menjadikan kedudukan 2-1 selepas menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-41, namun JDT berjaya melebarkan defisit jaringan dengan giliran Muhammad Safawi bin Rasid, mencetak nama sebagai penjaring.

Bagaimanapun, Selangor yang enggan menyerah kalah sekali lagi berjaya merapatkan kedudukan, menerusi gol Sandro da Silva di penghujung babak permainan, namun skuad ‘Gergasi Merah’ gagal memburu gol penyamaan sekali gus mencatatkan kekalahan keempat mereka musim ini.

Sementara itu, Kuala Lumpur terus tertekan di dalam zon penyingkiran, selepas tewas tipis 0-1 di tangan Melaka, pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain sayap pasukan kebangsaan Filipina, Patrick Reichelt pada minit ke-43.

Sementara itu, Sabah merampas kedudukan teratas Liga Premier selepas berjaya bangkit daripada ketinggalan, dan menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dua gol dalam tempoh enam minit masing-masing menerusi Rodoljub Paunovic pada minit ke-76 dan Alto Linus (minit ke-82) berjaya memadam gol pembukaan skuad tuan rumah menerusi Lee Chang Hoon, pada minit ke-32.

Di Stadium UiTM Shah Alam, jaringan hatrik Anselmo Arruda da Silva memberi tekanan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam usaha mengintai peluang merangkul kejuaraan Liga Premier, selepas seri 3-3 menentang Pulau Pinang.

Penyerang import dari Brazil berusia 32 tahun itu meledak gol pada minit ke-33, minit ke-46 dan minit ke-90, untuk menyamakan jaringan Zarko Korac pada minit ke-11 dan minit ke-58, serta gol tunggal Mohammad Amer Azahar (minit ke-45) sekali gus menyaksikan UiTM FC, terpaksa berpuas hati meraih satu mata.

Dalam pada itu, Sarawak kekal di kedudukan tercorot liga, selepas gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri setelah tewas 1-3 kepada UKM FC di Stadium Sarawak, Kuching.

Pemain import dari Iran, Milad Zanidpour membuka jaringan pasukan pelawat pada minit ke-14 sebelum Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman, meledak dua gol masing-masing pada minit ke-53 dan minit ke-89 untuk menghadiahkan tiga mata buat UKM FC.

Gol tunggal Sarawak dijaringkan Mohamad Alif Hassan pada minit ke-83. – BERNAMA


Pengarang :