Selangorkini
NASIONAL

Jemaah haji dinasihat buat persiapan hadapi musim panas

 

KUANTAN, 29 Jun: Bakal jemaah haji Malaysia dinasihatkan membuat persiapan sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas di Tanah Suci yang dijangka boleh mencecah sehingga hampir 50 darjah Celsius tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata jemaah juga dinasihatkan untuk minum air secukupnya sepanjang berada di sana, bagi mengelakkan risiko terkena strok haba.

“Jemaah wanita diingatkan membawa pakaian bersesuaian dengan cuaca panas seperti diperbuat daripada kapas. Kita harap semua jemaah haji akan menjaga kesihatan sepanjang berada di Mekah,” katanya.

Fuziah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Perhimpunan Perpaduan Demi Negara dan Majlis Jalinan Muhibah Aidilfitri Peringkat Negeri Pahang 2019 di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Majlis yang mengumpulkan 1,100 wakil daripada 540 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh Pahang itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Baharin Idris.

Fuziah juga berharap semua 30,200 jemaah haji tahun ini menjaga kebersihan bagi mengekalkan persepsi jemaah Malaysia sebagai kumpulan paling berdisiplin dan antara paling bersih apabila meninggalkan khemah apabila selesai beribadat.

“Kita akan meneruskan kempen kebersihan Perdana Masyair yang diadakan kali pertama pada musim haji tahun lalu bagi memastikan aspek kebersihan terus menjadi keutamaan jemaah Malaysia.

“Selain itu, kita juga meneruskan kerjasama dengan kerajaan Arab Saudi dalam sistem prapelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dimulakan dengan projek rintis pada tahun lalu,” katanya.

“Ini bermakna jemaah tidak perlu melalui proses pemeriksaan pasport, Imigresen dan Kastam di Arab Saudi yang dapat menjimatkan masa menunggu antara enam ke lapan jam di lapangan terbang di sana selain beg dihantar terus ke hotel,” tambahnya.

Fuziah berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mutafa Billah Shah juga dijangka akan menyentuh permohonan Malaysia bagi menambah kuota jemaah haji pada lawatannya ke Arab Saudi pertengahan Julai ini.

Jemaah haji Malaysia dijadualkan mula berlepas pada 4 Julai sehingga 4 Ogos ini menerusi 62 penerbangan sewa khas. Hari Wuquf dijangka pada 9 Zulhijjah bersamaan 10 Ogos ini. -BERNAMA


Pengarang :