NASIONAL

JPA sasar 10 peratus pesara guna khidmat kaunter MyPesara

 

MELAKA, 27 Jun : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyasarkan 10 peratus daripada kira-kira 800,000 pesara kerajaan di seluruh negara akan menggunakan perkhidmatan kaunter MyPesara yang dilaksanakan sejak 1 April lepas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah berkata pelaksanaan itu bertujuan memudahkan urusan golongan berkenaan mendapatkan khidmat nasihat dan garis panduan berhubung hal ehwal persaraan.

“Kaunter MyPesara ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan pesara dan memberi pelbagai manfaat terutama kepada mereka yang kurang mahir menggunakan kemudahan teknologi maklumat yang mana ia boleh diakses melalui aplikasi MyPesara.

“Dengan kaunter ini mereka dapat berurusan secara bersemuka di pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) terdekat bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk semakan status persaraan, cetakan penyata pencen dan cetakan surat kelulusan faedah persaraan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sesi Libat Urus bersama Pengurus Sumber Manusia (HR Day) di sini hari ini.

Pada majlis itu, turut berlangsung majlis perasmian kaunter MyPesara yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Adly Zahari. Turut hadir SUK Negeri Melaka Datuk Hasim Hasan.

Mengulas lanjut, Borhan berkata kaunter MyPesara turut menerima permohonan kemas kini maklumat perkahwinan, penceraian, maklumat anak, pencen terbitan bagi kematian dalam persaraan, bantuan mengurus jenazah, pertukaran akaun bank, pelantikan wakil Skim A dan pelantikan wakil diri bagi pesara serta penerima pencen.

Beliau berkata terdapat 10 pejabat SUK yang menyediakan perkhidmatan MyPesara iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu dan Pulau Pinang.

“Berbanding sebelum ini, perkhidmatan kaunter ini hanya beroperasi di beberapa lokasi iaitu JPA Putrajaya, Bahagian Pasca Perkhidmatan Cawangan Sabah, Bahagian Pasca Perkhidmatan Cawangan Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Persaraan dan Jabatan Pendapatan Tetap (KWAP) di Cyberjaya.

“Oleh itu, secara tidak langsung kita dapat meringankan beban kewangan mereka dengan meminimumkan jarak perjalanan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :