NASIONAL

Juruukur main peranan penting pembangunan negara

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Juruukur memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, terutama apabila maklumat geospatial penting untuk membuat keputusan, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata pada masa ini, maklumat geospatial menyediakan platform integratif untuk semua data digital yang mempunyai dimensi lokasi kepadanya.

Pihak berkuasa, katanya, tidak boleh mentadbir apabila tidak mengetahui sempadan dan ciri-ciri fizikal negara, dan menambah di Malaysia banyak maklumat sedemikian telah dihasilkan dan disediakan oleh juruukur.

“Ia memberikan maklumat antara tempat, rakyatnya dan aktiviti mereka.

“Ia juga digunakan untuk menggambarkan apa yang berlaku di mana, membantu kita memahami mengapa dan dengan berkesan mereka bentuk respons dan intervensi yang sesuai. Adalah penting bahawa kita mempunyai ‘bagaimana’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Kongres Juruukur Antarabangsa ke-21, yang menggabungkan Seminar Antarabangsa Pengurusan Maklumat Geospatial Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini semalam.

Turut hadir pada acara sehari itu ialah Penasihat Antara Serantau Sekretariat Pengurusan Maklumat Geospatial Global PBB, Greg Scott, dan Presiden Institut Juruukur Diraja Malaysia (RISM), Mohammad Azmi Mohd Zin.

Xavier berkata kerajaan perlu mengetahui bagaimana untuk memastikan akses dan penggunaan air, tanah, sumber asli yang saksama dan lestari.

Beliau berkata maklumat geospatial digambarkan sebagai ‘mata wang digital’ negara bagi membuat keputusan berasaskan bukti, komponen penting dalam ekonomi pengetahuan.

“Saya juga percaya kerajaan perlu memainkan peranan dalam memacu dan menyokong kolaborasi seluruh sektor untuk data dan maklumat yang boleh dipercayai dan tepat untuk respons berdasarkan bukti,” katanya.

Beliau berkata beberapa trend penting yang didorong oleh teknologi mungkin mempunyai impak besar pada masa depan, mewujudkan jumlah maklumat rujukan yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini dan mempersoalkan pemahaman orang mengenai apa yang menjadi maklumat geospatial.

Acara itu menarik kira-kira 500 juruukur dari pelbagai disiplin ukur di Malaysia bersama-sama dengan 33 wakil pakar negara anggota PBB dan 11 pakar dari sistem PBB serta pihak berkepentingan yang berkaitan.

Wakil pakar adalah dari 25 negara, termasuk Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :