NASIONAL

Kadar sabitan rasuah, tangkapan tinggi dalam tempoh setahun

PUTRAJAYA, 8 Jun : Malaysia mencapai kadar sabitan rasuah sebanyak 91 peratus dan tangkapan tinggi dalam tempoh setahun ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diterajui Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Bagi tempoh Mei 2018 hingga Mei 2019 ketika beliau menerajui SPRM, agensi itu membuat tangkapan hampir 1,300 orang antaranya melibatkan 30 ahli politik VVIP atau ‘ikan besar’, 13 pegawai pengurusan tertinggi, 30 ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, serta 137 pegawai pengurusan profesional.

Mohd Shukri berkata SPRM mencatat kejayaan besar dengan menjadikan Malaysia setaraf dengan Singapura, Hong Kong dan Singapura dalam usaha membanteras rasuah.

Dalam tempoh setahun itu juga, katanya Malaysia mendapat pengiktirafan tinggi antarabangsa apabila SPRM dianugerahkan oleh Global Investigation Review (GIR) yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat sebagai ‘The Most Emerging Enforcement for 2018’ dalam usaha perangi rasuah dan salah guna kuasa.

“Berduyun-duyun delegasi luar negara datang nak belajar dengan kita. Setiap bulan ada saja agensi luar negara datang nak belajar dengan kita. Kita begitu kerap dipanggil badan-badan antarabangsa untuk memberi talk di international seminar,” katanya dalam satu pertemuan dengan media di sini hari ini.

Mohd Shukri bersara awal sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) pada 31 Julai 2016 sebelum kembali sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei 2018 untuk tempoh dua tahun secara kontrak. Mohd Shukri, 58, bagaimanapun memutuskan untuk memendekkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

Latheefa Beebi Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun setelah Mohd Shukri membuat keputusan memendekkan kontraknya.

Mohd Shukri berkata pengiktirafan yang diterima membuktikan standard penyiasatan SPRM bertambah baik.

Ditanya sama ada siasatan SPRM dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International mempunyai bukti kukuh untuk memenjarakan individu terlibat, Mohd Shukri berkata siasatan yang lengkap akan diserah kepada pejabat Peguam Negara untuk dinilai fakta, keterangan dan saksi daripada dokumentasi.

“Berdasarkan apa yang ada, ia (pejabat Peguam Negara) buat keputusan untuk menuduh. Bagi saya, bila suatu keputusan dibuat untuk tuduh, maksudnya DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dah yakin bahawa ada solid evidence (bukti kukuh) atau keterangan untuk dibawa ke mahkamah. Kalau DPP tidak yakin, kenapa bawa ke mahkamah. Tugas SPRM hanya siasat dan DPP yang memutuskan,” katanya.

Mohd Shukri turut menegaskan sepanjang perkhidmatannya di SPRM, beliau tidak pernah memberi arahan menutup fail dan semua kes dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang.

“Siapa sahaja cuba halang atau mengganggu jangan layan, teruskan sampai habis kes itu. Soal tuduh atau tidak, itu kuasa pejabat Peguam Negara. Tugas SPRM ialah siasat sampai selesai, tiada siapa yang boleh mengganggu tugas SPRM, selesaikan dan hantar pada Jabatan Peguam Negara dan mereka yang akan memutuskan sama ada untuk mendakwa atau tidakd, bukan urusan SPRM,”katanya.

Beliau kesal dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang mendakwa beliau diarah meninggalkan SPRM kerana didakwa menutup beberapa kes berprofil tinggi melibatkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi antaranya.

Seingat beliau, sepanjang menerajui SPRM, katanya tidak ada fail dibuka terhadap Hishammuddin.

Dalam kes NFC Corp Sdn Bhd melibatkan Shahrizat, ia disiasat polis manakala Ahmad Zahid pula telah menghadapi pertuduhan, katanya.

Mengenai dakwaan terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan beliau kerana didakwa melepaskan pasport bekas Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali, Mohd Shukri menjelaskan tindakan itu tiada kena mengena dengan dirinya.

“Itu dilepaskan Jabatan Imigresen, Apandi buat permohonan di mahkamah, jadi apa kaitan dengan SPRM dan saya,” katanya.

Mohd Shukri berkata beliau juga dituduh menerima rasuah daripada pemimpin parti politik dan beliau menafikannya kerana tuduhan itu tidak berasas.

“Saya merayu pada mereka biarlah saya meninggalkan SPRM dalam keadaan aman. Saya tidak mahu lagi fitnah-fitnah yang tidak baik. Biar saya bersama keluarga dengan aman sebab saya telah buat sedaya terbaik mungkin kepada SPRM dan negara,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mengalami tekanan ketika berkhidmat di SPRM, Mohd Shukri berkata: “Tekanan perkara biasa bagi pegawai SPRM terutama KP. Semasa saya KP, bp (tekanan darah) saya tinggi 160-170 dan cecah sampai 190.”

“Bila saya pencen, bp saya 120, bawah 80 seperti orang muda. I masuk balik kerja bp naik balik 160, jadi normal sebagai KP, tekanan itu memang tinggi,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :