Selangor menguatkuasakan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainaan serta rekreasi.
GLOBAL

Kajian: Undang-undang larangan merokok selamatkan 15,000 nyawa kanak-kanak

RIO DE JANEIRO, 1 JUN: Satu siri undang-undang mewujudkan ruang khas yang bebas asap rokok, menyumbang kepada pengurangan sebanyak 15,000 dalam jumlah kematian kanak-kanak di Brazil dari 2000 hingga 2016.

Agensi berita Xinhua melaporkan, beberapa negeri di Brazil melaksanakan larangan merokok di kawasan awam yang tertutup mulai 2000 hingga 2012.

Pada 2011, undang-undang persekutuan memperkenalkan peraturan larangan merokok sepenuhnya di kawasan terbabit di seluruh negara dan mula berkuat kuasa 2014.

Menurut kajian diterajui Institut Kanser Kebangsaan Brazil (INCA) yang dikeluarkan pada Jumaat, mendedahkan dari 2000 hingga 2016, undang-undang itu mampu menghalang kematian 15,068 kanak-kanak di bawah umur setahun.

Perokok pasif atau perokok kedua dikenal pasti penyebab utama beberapa penyakit yang dihidapi kanak-kanak, seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, otitis akut dan kronik dan juga sindrom kematian mengejut.

“Sebelum undang-undang itu diperkenalkan, bayi dan kanak-kanak sentiasa terdedah kepada asap rokok: di pusat membeli-belah, pasar raya, pengangkutan awam dan restoran,” kata epidemiologi INCA, Liz Almeida.

Katanya, peningkatan kesedaran turut menyumbang kepada pengurangan penggunaan tembakau, termasuk di kalangan wanita hamil.

– BERNAMA


Pengarang :