SELANGOR

Karnival Jelajah 360 Smart Selangor: UNISEL tawar potongan yuran 30%

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 30 JUN: Universiti Selangor (UNISEL) menawarkan potongan 30 peratus yuran kemasukan sempena Karnival Jelajah 360 Smart Selangor yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu, di Stadium Kajang, di sini.

Pengarah Pemasaran dan Kemasukan UNISEL, Noor Azman Kamal berkata, potongan yuran itu bagi program diploma dan ijazah untuk sesi kemasukan Julai dan Ogos 2019.

Katanya, orang ramai digalakkan mengambil peluang itu memandangkan potongan terbabit hanya berlangsung ketika karnival diadakan.

“Orang ramai yang berkunjung ke karnival ini boleh ke gerai pameran UNISEL untuk mendapatkan potongan 30 peratus dan jika ada sebarang pertanyaan boleh terus bertanya kepada kami ketika hari kejadian.

“Menariknya, UNISEL turut menawarkan yuran pengajian percuma bagi semua program tahun asas dan jika ada yang berminat mereka boleh berdaftar terus kepada kami ketika karnival atau sehingga tarikh tutup pada 27 Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas Konsert Alami #SmartSelangor yang diadakan di Stadium Kajang, di sini malam tadi.

Pada masa sama, katanya, program tahun asas selama satu tahun itu sebagai alternatif terbaik kepada mereka yang berkelayakan untuk mengambil jalan singkat bagi menyambung ijazah.

“Kita tidak mempunyai sebarang had pendaftaran, selagi pelajar itu layak dan warganegara Malaysia, mereka akan automatik berpeluang mendapat yuran percuma ini.

“Selain itu, kita optimis masyarakat mengambil peluang ini dan dapat jadikan UNISEL sebagai pilihan utama bagi melanjutkan pelajaran,” katanya.

Noor Azman turut menekankan yuran di UNISEL antara 50 peratus terendah berbanding universiti lain.

Karnival Jelajah 360 Smart Selangor dianjurkanan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan dikuasakan UNISEL.

Kajang menjadi lokasi keempat selepas mendapat sambutan hangat sebelum ini di Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu dan Sabak Bernam.


Pengarang :