NASIONAL

Kaunselor ditahan kerana buat laporan polis palsu

 

BUKIT MERTAJAM,27 Jun : Seorang lelaki ditahan polis semalam kerana membuat laporan polis palsu kononnya wang tunai dan barangan kemas bernilai RM46,000 untuk bakal isterinya disamun dua lelaki dalam satu kejadian di tepi jalan di Jalan Besar Perai, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 39 tahun dan bekerja sebagai kaunselor itu membuat laporan polis pada Selasa selepas mendakwa dia disamun ketika memberhentikan keretanya di tepi jalan itu pukul 10.35 pagi Selasa.

“Lelaki itu mendakwa dia keluar dari keretanya untuk ke kedai di situ sebelum tiba-tiba datang sebuah motosikal dinaiki dua lelaki bertanyakan alamat kepadanya dan semasa memberitahu jalan, pembonceng motosikal itu turun dan menarik beg komputer riba digalasnya sebelum melarikan diri,” katanya di sini malam ini.

Katanya kaunselor itu mendakwa terdapat wang tunai sebanyak RM39,000 untuk kegunaan kahwin dan set barangan kemas untuk pengantin perempuan antaranya rantai leher, loket, subang serta gelang tangan bernilai RM7,000 dalam beg yang disamun dua lelaki berkenaan.

Beliau berkata lelaki itu turut mendakwa kejadian samun berkenaan berlaku sangat pantas dan dia turut menjerit meminta tolong namun tiada sesiapa menolongnya.

Nik Ros Azhan berkata hasil soal siasat dan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati insiden tersebut tidak berlaku malah suspek mengaku dia membuat laporan palsu berikutan keluarga teman wanita mendesak untuk mencepatkan majlis kahwin.

“Lelaki itu mengaku masih tidak cukup wang untuk berkahwin namun keluarga kekasihnya mendesak untuk percepatkan perkahwinan jadi dia membuat laporan palsu kononnya disamun bagi menangguhkan majlis(perkahwinan) dengan teman wanitanya,” katanya.

Katanya kertas siasatan kes itu telah di rujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya dan lelaki itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok menurut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan polis palsu.-BERNAMA


Pengarang :