BERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM dilantik panel industri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai panel industri di Fakulti Kejuruteraan Awam.

Ketua Perhubungan Awam dan Media, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, UiTM mewujudkan Panel Industri bagi setiap fakulti dan keahliannya terdiri daripada tokoh terkemuka di kalangan pihak kerajaan dan swasta.

Katanya, ia bertujuan untuk mendapatkan input terkini daripada pihak organisasi luar dalam bidang professional berkaitan.

“Panel Industri ini diharap dapat memberikan pandangan dan nasihat bagi memantapkan sistem pengurusan kualiti akademik universiti dalam melahirkan graduan yang berkualiti disamping dapat merapatkan hubungan antara UiTM dan pihak industri.

“KDEBWM menyambut baik dan amat berbesar hati menerima pelantikan ini untuk berkongsi kepakaran dalam membantu UiTM meninggikan prestasi akademik seiring dengan keperluan industri di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru, Mahfuzah berharap, menerusi lantikan itu ia dapat memanfaatkan kedua-dua belah pihak khususnya membabitkan bidang kejuruteraan awam.

MoU yang akan berkuatkuasa bermula 1 Julai itu ditandatangani Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir pada Majlis Pelancaran Greenation@UiTM yang dianjurkan baru-baru ini.


Pengarang :