SELANGOR

KDEBWM sumbang 4 MGB untuk penjara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) meneruskan lagi sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyumbang empat tong sampah baru jenis ‘Mobile Garbage Bin (MGB)’ kepada Pusat Koreksional Jabatan Penjara Malaysia.

Ketua Operasi KDEBWM cawangan Kuala Selangor, Mohd Farhan Zakiran M Alpis menyerahkan sumbangan itu kepada Pengarah Pusat Koreksional Penjara Puncak Alam, PKP Amer Sharifudin Mat Nor, baru-baru ini.

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, atas keperluan operasi seharian, tong sampah jenis MGB terbabit diperlukan di beberapa kawasan di pusat koreksional.

“Sumbangan tong sampah ini dapat membantu dan memudahkan proses pembuangan sampah di kawasan pusat koreksional ini.

“KDEBWM selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan permbersihan awam di Selangor amat mengambil berat permasalahan dihadapi oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, Mahfuzah berkata, KDEBWM akan terus menyokong usaha dan menyambut baik bantuan seperti itu sekali gus dapat menjadikan Selangor sebagai negeri yang bersih, selesa dan sejahtera untuk didiami.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberikan tanggungjawab melakukan kerja pembersihan berkenaan secara berperingkat.

Sekali gus, syarikat itu terus komited memastikan Selangor mencapai status negeri terbersih, di Malaysia.


Pengarang :