BERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM terima anugerah Frost & Sullivan Asia Pasifik kali kedua

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 27 JUN: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menempa sejarah tersendiri selepas memenangi Anugerah Amalan Baik Asia Pasifik Frost & Sullivan 2019 bagi kategori ‘Smart Waste Solutions Company Of The Year’.

Lebih membanggakan, anak syarikat Kerajaan Negeri itu menggondol anugerah berkenaan buat kali kedua berturut-turut.

Anugerah itu diterima Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir, pada majlis gilang-gemilang di Hotel Hilton, di sini malam tadi.

Majlis itu turut membariskan syarikat terkemuka dari Indonesia, Thailand dan negara Asia lain.

Selain KDEBWM, Pos Laju turut memenangi anugerah bagi kategori ‘Malaysia Express Logistics Service Provider of The year’ dan ‘Malaysia E-Commerce Logistics Service Provider of The Year’.

Manakala Sime Darby Motors Company Autoconnexion pula menggondol anugerah ‘Malaysia Pickup Truck Of The Year’ menerusi trak pacuan empat roda ‘Ford Ranger’.

Anugerah Frost & Sullivan diperkenalkan di Malaysia pada 2005 bagi memberi pengiktirafan dan penghormatan terhadap pencapaian syarikat merentasi pelbagai industri.


Pengarang :