NASIONAL

KDN rangka pelan holistik penguatkuasaan PATI

KUALA LUMPUR, 9 Jun : Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menghasilkan Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang lebih komprehensif sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan menambah baik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan itu bertujuan mengatasi masalah kebanjiran PATI di negara ini dengan melibatkan kerjasama strategik antara pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

Ia akan turut melibatkan peranan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam usaha membanteras PATI.

“Objektif pelan ini adalah mewujudkan satu ekosistem yang tidak selesa kepada PATI dalam meneruskan kehidupan seharian mereka melalui pendekatan mendaya upaya agensi penguatkuasa dan kawal selia sedia ada serta meningkatkan kerjasama strategik dan kesedaran masyarakat setempat,” kata Muhyiddin dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan pelan yang akan dilaksana dalam tempoh lima tahun itu akan menggariskan pelan tindakan membanteras PATI berdasarkan lima strategi.

Lima strategi itu ialah:

– Strategi Operasi Penguatkuasaan PATI yang menggariskan pelan pelaksanaan berkaitan operasi penguatkuasaan membanteras PATI di seluruh negara;

– Strategi Perundangan dan Dasar Penguatkuasaan PATI yang menggariskan pelan pelaksanaan penggubalan undang-undang dan penyelarasan dasar berkaitan penguatkuasaan PATI;

– Strategi Kawalan Sempadan dan Pintu Masuk yang menggariskan pelan pelaksanaan pemantauan kawalan keselamatan di sempadan dan pintu masuk negara;

– Strategi Pengurusan Warga Asing yang menggariskan pelan penyelarasan dasar berkaitan warga asing; dan

– Strategi Strategi Media dan Publisiti yang menggariskan pelan pelaporan media, publisiti dan program kesedaran berkaitan PATI.

KDN, kata Muhyiddin, sedar senario kebanjiran PATI di Malaysia menjadi isu nasional yang masih belum dapat diatasi secara menyeluruh.

“Masalah ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat kerana ia bukan sahaja menyentuh aspek keselamatan negara dan keselamatan persempadanan tetapi turut memberi impak cukup besar terhadap kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi,” kata beliau.

Beliau menegaskan KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing.

Muhyiddin berkata dari 1 Jan hingga 4 Jun lalu, JIM melaksanakan 7,940 operasi melibatkan pemeriksaan hampir 100,000 warga asing yang menjurus kepada tindakan undang-undang diambil terhadap 23,295 PATI.

Warga Indonesia merupakan PATI yang paling ramai ditangkap iaitu 8,011 (34 peratus), diikuti Bangladesh (5,272 orang; 23 peratus) dan bakinya merangkumi warga Myanmar, Filipina, Thailand dan lain-lain.

Selain itu, dalam tempoh lima bulan iaitu 1 Jan hingga 1 Jun 2019, seramai 26,116 PATI telah diusir ke negara asal. -BERNAMA


Pengarang :