NASIONAL

KEADILAN perlu dibersihkan untuk terus kekal relevan

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 16 JUN: Biro Disiplin KEADILAN perlu bertindak tegas dan membersihkan parti sekiranya mahu parti kekal relevan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu terserah kepada pimpinan untuk menentukannya.

“Memang patut (pembersihan parti) jika mereka mahu untuk memutuskan yang terbaik untuk parti.

“Jika mereka (pimpinan) mahu memastikan parti (KEADILAN) kekal relevan dan diterima umum, sesuatu perlu dilakukan,” katanya di Majlis Silaturrahmi Eidul Fitr DUN Gombak Setia di Padang Taman Selaseh Fasa 2 di sini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas sama ada akan mendesak Biro Disiplin KEADILAN mengambil tindakan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Mengulas mengenai sama ada penyebaran video ini membabitkan orang dalam KEADILAN sendiri dan tindakan ahli parti yang ‘menyambut’ pembebasan Haziq Abdullah, beliau berkata, ia terpulang kepada parti untuk menyiasat.

“Saya diberitahu penyebaran ini tidak dimulakan di Facebook atau Instagram kerana mereka mahu mengelak alamat IP dikesan dan (penyebaran) dilakukan menerusi WhatsApp.

“Itu laporan yang diberikan kepada saya dan ‘group’ WhatsApp ini mengandungi semua nombor (telefon) ketua-ketua cabang serta peringkat bawahan jabatan di peringkat cabang.

“Saya tidak mempunyai semua maklumat itu. Persoalannya sekarang, siapa menyalurkan maklumat untuk membentuk ‘group’ WhatsApp ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, maka pimpinan perlu jelaskan,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :