NASIONAL

Kedudukan kewangan TH kembali kukuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) kembali kukuh selepas pelan penstrukturan dan pemulihan berjaya dilaksanakan sejak akhir tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Zukri Samat berkata, ia dapat dilihat menerusi prestasi kewangan suku pertama Januari sehingga Mac lalu.

Katanya, pada hujung suku pertama, jumlah lebihan aset berbanding liabiliti yang dimiliki TH telah meningkat kepada RM1.2 bilion.

“Kami juga berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta dalam tempoh tiga bulan.

“Dengan amalan pelaburan lebih berhemah dan disokong oleh langkah penambahbaikan tadbir urus serta kawal selia, pencapaian prestasi kewangan yang lebih baik akan dapat dicapai TH pada tahun ini.

“Ia sekali gus akan membolehkan agihan hibah yang lebih kompetitif dan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucap sembahnya pada Majlis Penyempurnaan Kursus Haji Perdana Tahun 1440H/2019M Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Turut berangkat, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum ini, pada April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengumumkan kerajaan akan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion kepada TH dan membiayai agensi itu dalam tempoh 10 tahun dari 2020 hingga 2030 bagi memulihkannya.

Mujahid berkata, kerajaan komited memastikan institusi umat Islam itu terus terbela, justeru membuat pelan pemulihan TH menerusi syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) membeli asetnya yang hanya bernilai RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion.

Tindakan pengurusan terdahulu yang tidak mempedulikan amaran Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa agensi itu sudah mengalami kekurangan aset, tetapi terus memberi hibah tinggi menyebabkan agensi itu berdepan masalah kewangan yang teruk.

Katanya, kerugian dialami agensi itu menjangkau RM10.2 bilion sukar ditanggung berbanding nilai aset pelaburan hartanah dan syarikat yang dibeli TH dengan kos RM19.9 bilion hanya bernilai RM9.7 bilion, setakat 31 Disember tahun lalu.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :