RENCANA

Kekal menawan dengan solekan ringkas semasa Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

MELARAM ketika hari raya bukan perkara biasa bagi golongan remaja dan wanita di luar sana.

Sebulan berpuasa, menyambut perayaan setahun sekali itu pastinya penuh dengan undangan rumah terbuka.

Selain pakaian, sentuhan menghias wajah juga amat dititik beratkan golongan itu untuk mereka melangkah dengan penuh yakin.

Walaupun masing-masing memiliki pandangan dan stail berbeza, namun solekan sangat penting untuk tampil ‘flawless’ sepanjang hari di luar.

Dalam hal ini, teknik merias wajah amat penting bagi memastikan kualiti solekan yang dihasilkan tidak pecah mahupun ‘bercapuk’.

Kualiti solekan pada ‘foundation’

Jurusolek artis yang mahu dikenali Queen Latifah berkata, walaupun menerima pelbagai permintaan terhadap gaya solekan, namun solekan nipis paling laris setakat ini.

Katanya, impak seri wajah semula jadi amat penting kerana ia tidak berubah dengan peredaran masa, malah lebih sesuai ke majlis yang mengambil masa lama.

“Solekan ringkas sangat sesuai ketika ini, apa yang penting gunakan ‘foundation’ yang sesuai untuk kulit, sekata dan mampu meliputi seluruh wajah untuk kekal lama.

“Sebelum meletakkan ‘foundation’, jangan lupakan teknik asas yang betul iaitu menyembur sedikit penyegar dan pelembap serta biarkan ia meresap ke dalam kulit,” katanya.

Queen Latifah berkata, bagi kulit cerah atau sawo matang, dinasihatkan untuk menggunakan ‘foundation’ yang sedikit gelap dari warna kulit untuk menampakkan lebih semula jadi.

Teknik tepat bantu tutup kekurangan wajah

Sementara itu, pemilik Butik De Tanjak Bridal, Syazwan Yusoff berkata, menyolek wajah dengan teknik betul dan pemilihan yang sesuai boleh membantu membangkitkan keremajaan dan menutup kekurangan pada wajah.

Katanya, penggunaan bedak tabur bagi menutupi bedak asas adalah lebih baik supaya solekan nampak ringan.

“Pada bahagian mata, gunakan pembayang mata berwarna semula jadi dan bersesuaian dengan baju. Manakala, pemakaian pemerah pipi jenis cecair penting kerana lebih menyerlah.

“Selain itu, gunakan pelentik bulu mata terlebih dahulu sebelum memakai maskara bagi hasil yang lebih memukau.

“Untuk lipstik, disaran menggunakan warna kulit (nude) atau pink yang lebih cerah jenis matte kerana teksturnya ringan atau sedikit lip gloss pada bibir untuk kesan berkilau dan lebih mungil,” katanya.

Untuk kemasan terakhir pula, Syazwan berkata, semburan wajah yang siap disolek perlu mempunyai vitamin kerana sangat penting untuk kulit.


Pengarang :