AGAMA

Kekurangan fizikal bukan halangan berjaya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Melihat keadaan Suhazli Muhammad yang dilahirkan tanpa tangan dan kaki, mungkin ramai beranggapan lelaki ini menjalani kehidupan yang sukar.

Bagaimanapun, lelaki berusia 27 tahun itu membuktikan sebaliknya apabila enggan menjadikan kekurangan fizikal sebagai halangan untuk berjaya seperti insan sempurna lain dalam pelajaran.

Berkongsi kisah anak bongsu daripada lapan orang adik beradik itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui catatan di Facebook memaklumkan Suhazli adalah salah seorang bekas penerima bantuan pendidikan LZS.

Katanya, Suhazli kini berjaya menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Aplikasi (MAMPU).

“Bertemu dengan insan ini sangat menjadi inspirasi. Beliau tiada kedua belah tangan dan kaki, namun menjadi insan yang berjaya.

“Beliau juga amat disayangi rakan sekerja. Melihat hubungan baik mereka, memang luar biasa, dilayan seperti insan biasa. Ketabahan dan kecekalan beliau ini amat dikagumi.

“Kehebatan mengawal kerusi roda eletrik kesayangannya juga amat mengagumkan. Sambil beranjak duduk di sofa tanpa rasa kekok dan sukar,” katanya.

LZS berkata, Suhazli juga melakukan tugasan harian tanpa mengeluh dan lancar selain menonjolkan kelebihannya supaya dilayan seperti insan biasa.

“Bayangkan dengan tiada tangan dan kaki beliau boleh mengawal telefon, membuat tugasan di komputer riba dengan cekap. Seperti orang yang ada jari. Naik turun lif, bergerak ke sana kemari tanpa kekok. Lagaknya seperti tiada kekurangan,” katanya.

Sementara itu, Suhazli yang juga Pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Perisian Universiti Putra Malaysia (UPM) sentiasa berusaha meningkat taraf kehidupannya selain berazam membantu insan memerlukan untuk berjaya.

“Saya nak buktikan, saya juga boleh berjaya dan dapat membantu orang lain. Saya bukan ada masalah minda, cuma kekurangan fizikal sahaja.

“Ibu bapa saya didik saya sama seperti abang dan kakak, tiada kakurangan dan ibu bapa adalah kekuatan saya, sehingga saya boleh berada di sini sekarang.

“Sesungguhnya setiap kejadian Allah itu ada kelebihannya. Yang penting kita yakin,” katanya.


Pengarang :