PUTRAJAYA, 17 Jun — Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika hadir di Dewan Gemilang, Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis. Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kem Wang Kelian tempat persembunyian kepada kem utama di Thailand

 

PUTRAJAYA, 17 Jun : Kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis merupakan ‘tempat persembunyian’ kepada kem utama di Thailand, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Semasa memberi keterangan sebagai saksi ke-47 pada hari ke-16 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan dan kubur berkenaan hari ini, Khalid berkata dalang kes penyeludupan manusia berkenaan adalah dari Thailand.

“Siasatan tidak menunjukkan pihak sebelah sini (Malaysia) yang terlibat.

“Modus operandi yang biasa dilakukan ialah pendatang akan ditahan di Thailand sehingga keluarga masing-masing di Bangladesh membayar duit , barulah dibawa masuk ke Malaysia.

“Aktiviti (penyeludupan manusia) yang berlaku di sebelah Malaysia turut didalangi pihak Thailand,” kata Khalid yang kehadirannya pada prosiding itu menarik perhatian apabila galeri awam RCI dilihat hampir penuh.

Khalid berkata kem penempatan sementara di Wang Kelian yang terletak 200 meter dari sempadan Malaysia-Thailand akan digunakan apabila pihak Thailand melakukan operasi penguatkuasaan.

“Bila Thailand ganggu mereka lari ke kawasan kita (Malaysia). Bila tidak ada (gangguan) mereka balik ke Thailand,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak pernah dimaklumkan secara rasmi mengenai kem utama di Thailand.

Katanya Polis Diraja Malaysia pernah mengeluarkan senarai dikehendaki 10 nama warganegara Thailand yang terlibat dengan kes berkenaan.

Namun, katanya apabila beberapa individu dalam senarai itu ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand, permohonan Malaysia untuk menemuramah individu berkenaan tidak dibenarkan oleh Thailand.

Ditanya kenapa kawasan kem penempatan berkenaan tertinggal daripada rondaan polis, Khalid berkata tidak ada rondaan di kawasan itu kerana bentuk muka bumi yang sukar dan tidak ada penduduk.

Ketika memberi keterangan itu, Khalid turut menafikan dakwaan bahawa beliau tidak mengambil berat isu penemuan kem penempatan sementara Wang Kelian dan mewujudkan perjanjian tertentu dengan pihak Thailand.

Khalid bagaimanapun mengakui tahap keselamatan di sempadan Perlis-Thailand sangat lemah dan perlu dipertingkat.

Apabila diminta memberikan cadangan, beliau berkata penggunaan teknologi seperti dron, kamera dan sensor perlu diambil kira. -BERNAMA


Pengarang :