SELANGOR

Kemas kini Skim Peduli Sihat tumpu penerima layak

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Hanya mereka yang benar-benar layak sahaja bakal menerima Kad Peduli Sihat, selaras proses kemas kini yang dilakukan sejak 1 Mei lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, proses itu tidak bermaksud untuk mengurangkan jumlah penerima, sebaliknya mereka perlu mengemas kini maklumat dan berdaftar dengan Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Sebahagian yang tidak menerima insiatif daripada Kad Peduli Sihat ini adalah mereka yang tidak menerima BSH daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Membeli-belah Central i-City yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, masa yang diberikan untuk proses kemas kini juga sudah mencukupi, malahan pendaftaran turut dibuka di pusat khidmat, di negeri ini.

“Garis panduan sangat mudah iaitu sama ada penerima Kad Peduli Sihat ini menerima BSH, yang disaring Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mempunyai data lengkap.

“Ingin saya katakan sekali lagi, bukan bertujuan menyukarkan, namun paling utama kita nak pastikan tiada keciciran penerima berlaku, sebab itu kita lakukan pembersihan,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 390,524 kad Peduli Sihat dikeluarkan bagi memberi manfaat rawatan asas kepada rakyat Selangor sejak dilaksanakan dua tahun lalu.


Pengarang :