BERITA UTAMANASIONAL

Kementerian Kesihatan tingkat kawalan jualan vape

KUALA LUMPUR, 14 Jun : Kerajaan belum bercadang untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik dan vape di negara ini, sebaliknya akan meningkatkan kawalan serta pemantauan bagi mengekang risiko pelbagai masalah kesihatan yang mungkin timbul akibat penggunanan bahan itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif berhubung perkara itu dengan merangka rang undang-undang merangkumi kawalan terhadap rokok elektronik dan vape yang dijangka dibentang di Parlimen selewat-lewatnya tahun depan.

Keputusan sama ada penjualan dan penggunaan rokok elektronik dan vape akan diharamkan di negara ini bergantung kepada keputusan kajian yang sedang dilakukan termasuk mengambil kira keperluan dan situasi semasa, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) semalam yang menggesa kerajaan segera mengharamkan penjualan vape dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja.

Gesaan itu dibuat berikutan kandungan dalam cecair vape dipercayai dicampur dengan dadah serta terdapat banyak pihak beranggapan vape hanya mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan serta tanpa tar yang menjadi punca kanser.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Zubaidi Ahmad berkata kandungan nikotin yang terdapat dalam rokok elektronik atau vape adalah kira-kira dua atau tiga kali ganda lebih daripada kandungan nikotin dalam rokok.

“Sebagai contoh, dalam sebatang rokok ada lebih kurang dua ke tiga miligram (mg) nikotin, tetapi dalam vape mungkin mengandungi empat hingga 12mg nikotin. Kandungan nikotin yang berlebihan inilah yang akan menjejaskan kesihatan penghisapnya.

“Apa yang menjadi kebimbangan ialah vape ini juga dikhuatiri turut dicampur nikotin yang merupakan bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar, ulser perut dan usus,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia Muhammad Sha’ani Abdullah pula mencadangkan kerajaan segera mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape yang mengandungi nikotin.

“Individu yang menghisap vape (bernikotin) bukan sahaja terdedah kepada penyakit kanser malah beberapa penyakit berbahaya lain yang boleh menjejaskan kesihatan berikutan kandungan cecair vape yang tidak jelas dan tiada bukti penggunaannya adalah selamat,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :