BERITA UTAMASELANGOR

Kempen hindari plastik sekali guna di jabatan Kerajaan Selangor mulai 1 Julai

SHAH ALAM, 1 JUN: Kerajaan Selangor akan menguatkuasakan kempen hindari penggunaan plastik sekali guna di semua jabatan dan agensi di bawah pentadbiran negeri itu mulai 1 Julai ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, cadangan untuk pelaksanaan kempen itu diluluskan oleh kerajaan negeri pada Rabu lepas sejajar dengan pelan hala tuju sifar plastik pakai buang 2018-2030 oleh kerajaan pusat.

Beliau berkata, kempen itu bertujuan menangani masalah alam sekitar khususnya berpunca daripada pencemaran ekoran penggunaan barangan plastik sekali guna demi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat.

“Kempen itu akan dikuatkuasakan di bangunan pentadbiran kerajaan negeri termasuk jabatan serta agensi di bawahnya seperti pejabat tanah dan daerah, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan dan anak-anak syarikat di bawah pentadbiran kerajaan Selangor.

“Selain itu, ia juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang sentiasa berusaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna khususnya beg plastik dan polistirena,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, semua jabatan dan agensi terlibat perlu mengikuti panduan bagi menghindari penggunaan plastik sekali guna iaitu dengan menggantikan botol minuman plastik sekali guna kepada botol kaca atau menyediakan jag air; dan menggantikan pembalut plastik pada piring, pinggan atau mangkuk dengan penutup makanan yang boleh diguna semula.

Katanya, semua jabatan dan agensi terlibat juga disaran menyediakan dispenser air untuk kemudahan isian semula selain tidak menyediakan piring, pinggan, mangkuk, cawan dan kutleri bersifat sekali guna dan mengelakkan daripada penggunaan penyedut minuman plastik.

“Semua pegawai yang bertugas dan orang awam yang berurusan di bangunan jabatan kerajaan negeri juga amatlah digalakkan membawa bekas makanan berserta kutleri termasuk penyedut minuman guna semula untuk kegunaan peribadi selain menggunakan beg khas guna semula semasa membeli makanan dan minuman di kafeteria,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui pihaknya akan mengatur strategi untuk menyebar luaskan amalan berkenaan menerusi semua platform komunikasi terutama media sosial selain menyediakan bahan-bahan promosi berbentuk infografik, video dan sebagainya demi menjayakan kempen itu.

Katanya, pihaknya juga menggalakkan badan swasta, sekolah, rumah ibadat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sebagainya dapat turut serta dalam kempen tersebut dan melaksanakannya melalui usaha sendiri di pelbagai lokasi dengan melibatkan seluruh rakyat di negeri itu demi mencapai tujuan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna pada masa depan.

– BERNAMA


Pengarang :