Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam dengan disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 24 Januari 2020. Foto BERNAMA
NASIONAL

Kemudahan skim MySalam diperluas

 

KUALA LUMPUR, 8 Jun : Kemudahan skim perlindungan nasional B40 atau Skim mySalam telah diperluaskan ke 10 buah hospital lagi untuk membantu para pesakit mendapat rawatan lanjut daripada doktor pakar, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, Skim mySalam kini turut merangkumi rawatan yang diterima di hospital perubatan universiti dan juga hospital angkatan tentera setelah pesakit mendapatkan pengesahan doktor pakar untuk menerima manfaat skim tersebut.

“Sebanyak empat buah hospital tambahan tersebut bertempat di Kuala Lumpur iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

“Manakala hospital di negeri lain adalah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan; Hospital UiTM Sungai Buloh; Hospital Angkatan Tentera, Lumut, Perak; Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka; Hospital Tentera Darat, Gemas, Negeri Sembilan dan Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu Sabah,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Januari lepas merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara Kerajaan Persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd.

Perlindungan takaful itu disediakan dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap salah satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk penyakit kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harian sebanyak RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun. -BERNAMA


Pengarang :