Selangorkini
SELANGOR

Kenaikan elaun Pengerusi MPKK dipertimbang dalam Belanjawan 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan Negeri bersedia mempertimbangkan cadangan menaikkan elaun Pengerusi Majlis Perawakilan Komuniti Kampung (MPKK) bagi tahun hadapan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum diputuskan Jawatankuasa Belanjawan Negeri Selangor 2019.

“Tahun ini tidak mungkin kita dapat naikkan (elaun) sebab itu perlu dibajetkan dalam belanjawan khas dan (untuk) tahun hadapan kita sedia menilai semula angka pendapatan elaun mereka (ketua kampung tradisi) atau menambah beberapa skim perlindungan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Watikah Pelantikan kepada 292 Ketua Kampung Tradisi di Banquet Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Dalam perkara sama, Amirudin menjelaskan Setiausaha MPKK kini menerima elaun RM500 sebulan bagi membantu melancarkan pengurusan MPKK serta melaksanakan program kemasyarakatan, kebajikan, keceriaan dan keperluan lain demi manfaat kampung juga penduduk setempat.

Katanya, jumlah itu ditingkatkan hasil daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan dan sebelum ini Kerajaan Negeri memberikan elaun RM250 sebulan.

FOTO: RAHEEMIE ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :