Selangorkini
GEORGE TOWN, 16 Jun -- Menteri Kewangan Lim Guan Eng (tengah) bersama wakil-wakil syarikat pemaju perumahan menunjukkan surat kenaikan harga simen ketika sidang media hari ini. Beliau berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) minggu depan bagi melihat langkah yang boleh diambil bagi menangani isu itu. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kenaikan harga simen, Guan Eng akan jumpa Saifuddin

GEORGE TOWN, 16 JUN: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan berjumpa dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail minggu depan untuk membincangkan punca kenaikan harga simen, baru-baru ini.

Beliau menerima aduan daripada beberapa syarikat pemaju mengenai kenaikan mendadak harga simen itu yang bimbang akan memberi kesan buruk khususnya kepada sektor pembinaan.

Katanya, kerajaan mengambil berat mengenai aduan ini kerana kenaikan harga simen akan memberi kesan sampingan dan rantaian serta menjejaskan sektor pembinaan melibatkan perumahan, jalan raya, kilang dan sebagainya.

“Saya sedang mengumpul maklumat daripada aduan yang diterima daripada pemain industri dan akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna minggu depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas aduan mengenai kenaikan harga simen oleh syarikat pemaju hartanah antara 40 dan 50 peratus seperti disahkan melalui surat daripada pembekal bermula semalam dan 1 Julai ini.

Terdahulu, Guan Eng mengadakan perjumpaan dengan Penasihat Persatuan Pembina dan Pembekal Bahan Binaan Pulau Pinang Datuk Lim Kai Seng, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Toh Chin Leong dan Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia cawangan Pulau Pinang, Datuk Ooi Eng Hock untuk membincangkan mengenai kenaikan harga simen.

Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud impak daripada kuasa monopoli syarikat pembekal simen yang telah menyebabkan harga simen melonjak begitu ketara.

“Sekiranya ini untuk membolehkan syarikat untung besar dan memudaratkan industri serta ekonomi, ini satu perkara yang dipandang berat dan kerajaan mengambil serius mengenainya,” katanya.

Sementara itu, Toh berkata impak daripada kenaikan harga simen itu akan menyebabkan pemaju tiada pilihan daripada menaikkan harga rumah pada masa akan datang.

Katanya baru-baru ini, pihak pembekal simen telah memaklumkan kepada pelanggannya bahawa kenaikan harga simen akan berkuat kuasa pada 15 Jun dan 1 Julai ini.

“Saya tidak faham kenapa harga simen perlu dinaikkan begitu ketara dan ini akan menjejaskan harga rumah kerana sektor pembinaan banyak menggunakan simen untuk membina rumah dan infrastruktur lain,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :

Related posts

Muhyiddin Dan Peter Chin Gagal Fahami Kepentingan Penstrukturan Semula Air Selangor

Zharif Zulkiffeli

The Malaysian Insider tutup berkuatkuasa tengah malam ini

Serpihan dipercayai milik MH370 ditemui