NASIONAL

Kenaikan harga simen: KPDNHEP akan keluar notis

PUTRAJAYA, 17 Jun : Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan notis segera kepada 19 kilang pengeluar simen seluruh negara susulan laporan bahawa harga bahan binaan itu akan naik secara mendadak.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 itu dikeluarkan untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat terlibat berkenaan punca kenaikan harga tersebut.

“Notis ini harus dijawab dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikeluarkan dan kegagalan menjawab dalam tempoh masa tersebut akan mengundang kepada tindakan undang-undang di bawah akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan akan bertemu dengan Saifuddin Nasution minggu ini untuk membincangkan punca kenaikan harga simen setelah menerima aduan daripada beberapa syarikat pemaju mengenai kenaikan harga antara 40 dan 50 peratus yang dibimbangi akan memberi kesan buruk khususnya kepada sektor pembinaan.

Saifuddin Nasution berkata sebarang keputusan oleh mana-mana syarikat pengeluar simen berlesen untuk menaikkan harga perlu dirujuk dan mendapat kelulusan KPDNHEP seperti yang dinyatakan dalam “Syarat-syarat Khas bagi Pemborong Simen” di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Bukan keputusan mutlak syarikat pengeluar simen tersebut,” katanya

Menurut Saifuddin Nasution, setakat ini KPDNHEP belum menerima sebarang makluman rasmi daripada syarikat pengeluar simen berkenaan isu itu dan telah mengarahkan agar mereka segera berbuat demikian.

“Kerajaan menyeru agar sebarang pengumuman yang bersifat sensitif seperti ini dibincangkan dan dirujuk bersama terlebih dahulu agar kepentingan rakyat dan pihak-pihak terlibat akan dilindungi,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :