NASIONAL

Keracunan metanol : Seorang daripada tiga mangsa dibenarkan keluar hospital

 

PORT DICKSON, 24 Jun : Seorang daripada tiga mangsa yang menerima rawatan susulan kes keracunan metanol di sini dibenarkan keluar hospital Jumaat lepas, selepas kesihatannya kembali pulih.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohammed berkata pada masa ini tinggal dua mangsa yang masih menerima rawatan, masing-masing di Hospital Port Dickson (HPD) dan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

“Mangsa yang menerima rawatan di HPD dilaporkan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala seorang lagi yang menerima rawatan di HTAN dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan dua maut akibat keracunan metanol dengan mangsa pertama seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun pada 17 Jun lepas, dan diikuti seorang wanita tempatan pada 20 Jun lepas.

Setakat ini, kes keracunan metanol dilaporkan membabitkan seramai lima mangsa.

Aidi Sham berkata, dua beranak dan seorang peniaga wanita yang sebelum ini direman empat hari sehingga hari ini oleh Mahkamah Majistret Port Dickson bagi membantu siasatan kes berkenaan, bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 4 petang, Sabtu lepas. -BERNAMA


Pengarang :