NASIONAL

Kerajaan akan tangani masalah penempatan pelarian Bukit Malut, Langkawi

SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan akan meneliti dan menyelesaikan masalah kebanjiran penempatan pelarian Rohingya di Bukit Malut, Langkawi, Kedah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata kedudukan Malaysia yang dekat dengan Cox Bazar, Bangladesh serta Myanmar memungkinkan negara ini menjadi lokasi pelarian antaranya etnik Rohingya untuk mencari tempat pelindungan.

“Saya kira, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sudah maklum mengenai isu ini.

”Saya difahamkan, mereka sudah lama duduk di situ, kita mesti tengok bagaimana nak tangani masalah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini, hari ini.

Beliau, yang juga pengerusi MCPF, menjelaskan kerajaan juga akan melihat bagaimana untuk menjaga dan susun atur penempatan pelarian termasuk dari segi kekotoran persekitaran dan sistem kumbahan.

Akhbar hari ini melaporkan terdapat anggaran lebih 800 kediaman dibina di Bukit Malut dengan jumlah penghuninya sekitar 5,000 hingga 8,000 orang pelarian menetap secara kekal yang difahamkan dibuka sejak tahun 80an.

Menurut laporan akhbar itu lagi, penempatan tersebut didakwa dibina dengan cara menceroboh tanah rizab hutan paya bakau di lokasi tersebut yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata kerajaan amat serius dalam usaha meningkatkan tahap pencegahan jenayah kerana ia dilihat lebih baik daripada mencari pesalah yang melakukan jenayah.

Memberi contoh kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau berkata ia antara kes jenayah yang mempunyai masalah untuk mendapatkan bukti sekali gus menjejaskan proses membawa pesalah ke mahkamah.

Justeru itu katanya, kerajaan akan terus meningkatkan tahap kesedaran rakyat tentang kepentingan langkah pencegahan jenayah bagi membendung aktiviti jenayah.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan pihak tertentu supaya kerajaan menaikkan kadar geran diberi kepada jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Dr Wan Azizah, berkata ia akan dipertimbangkan mengikut tahap kewangan semasa dan bergantung kepada prestasi KRT itu sendiri.

Beliau berkata ini kerana kerajaan menerusi Kementerian Kewangan sedang meneliti keutamaan dan keperluan mana-mana kementerian terlebih dahulu sebelum meningkatkan penyaluran peruntukan.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, menyatakan kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada 8,400 KRT dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) tidak aktif selepas perubahan tampuk kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Md Farid berkata kementeriannya masih berusaha untuk mendapatkan dana mencukupi daripada kerajaan untuk membantu KRT. – BERNAMA


Pengarang :