NASIONAL

Kerajaan cadang bina Kompleks Mahkamah Shah Alam baharu

SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan bercadang membina bangunan Kompleks Mahkamah Shah Alam yang baharu bagi menggantikan bangunan yang sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata langkah itu perlu berikutan keadaan bangunan mahkamah sedia ada tidak selesa selain wujud pelbagai masalah berkaitan infrastruktur.

“Kita mendapati bangunan mahkamah yang beroperasi sejak 2000 itu mempunyai banyak kelemahan termasuk kesesakan (kenderaan) di kawasan tempat letak kereta, laluan keluar masuk ke mahkamah yang terhad serta reka bentuk bangunan yang tidak mesra pengguna terutamanya untuk golongan OKU (orang kelainan upaya).

“Jadi kita perlu satu tapak (tanah) untuk membina bangunan mahkamah yang baharu bagi mengatasi masalah ini sekaligus memastikan keselesaan dan keselamatan hakim, peguam, pihak berkuasa dan orang awam ketika urusan perundangan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Seksyen 4 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Mahkamah Negeri Selangor Rozilah Salleh dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Liew, yang bertanggungjawab dalam portfolio undang-undang, berkata bagi tujuan itu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi mengenalpasti tapak tanah yang sesuai bagi membangunkan kompleks mahkamah berkenaan.

“Mungkin kita boleh guna pendekatan ‘land swap’ antara Persekutuan dan Negeri bagi mendapatkan tapak yang sesuai… saya akan bertemu Menteri Besar dalam waktu terdekat sebelum kita adakan perbincangan susulan dengan Kementerian Kewangan berhubung peruntukan yang diperlukan bagi tujuan ini,” katanya.

Bagi pembinaan bangunan kompleks mahkamah itu, pihaknya akan mengambil pandangan dan pendapat daripada pihak berkenaan termasuk hakim dan peguam supaya reka bentuk bangunan itu sesuai dan lebih kondusif untuk kakitangan mahkamah, kata beliau. – BERNAMA


Pengarang :