NASIONAL

Kerajaan fail saman terhadap NFC tuntut RM253.6 juta

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Kerajaan Malaysia memfailkan saman menuntut wang RM253.6 juta yang dipinjamkan kepada Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang diuruskan oleh suami dan tiga anak kepada bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Kerajaan selaku plaintif, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, pada Jumaat lepas.

Mahkamah menetapkan 17 Jun ini, bagi pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom.

Dalam pernyataan tuntutan, kerajaan selaku plaintif tunggal, menamakan Pusat Fidlot Nasional (NFC) sebagai defendan pertama manakala suami Sharizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, sebagai defendan kedua hingga kelima.

Selain itu turut dinamakan defendan adalah enam syarikat dikawal keluarga tersebut yang dinamakan “Keluarga Salleh” iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd; Real Food Corporation Sdn Bhd; Meatworks Corporation Sdn Bhd; Agroscience Industries Sdn Bhd; Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd; dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd sebagai defendan keenam hingga ke-11.

Dalam penyataan tuntutan itu, kerajaan menuntut daripada NFC dan keluarga Mohamad Salleh berjumlah RM253.6 juta, iaitu pinjaman daripada kerajaan, bersama dengan faedah dua peratus setahun.

Kerajaan memohon pengisytiharan dari mahkamah, agar keluarga Mohamad Salleh secara peribadi bertanggungjawab terhadap pembayaran balik hutang itu, sejumlah RM118.04 juta yang disalahgunakan daripada pinjaman dan keuntungan rahsia timbul daripadanya, serta hak Putrajaya untuk menuntut hak hartanah dibeli menggunakan pinjaman RM250 juta yang dipinjam oleh NFC daripada kerajaan.

Kerajaan pada 6 Disember 2007, menandatangani perjanjian dengan NFC untuk memberi pinjaman RM250 juta yang sebahagiannya membiayai penubuhan dan operasi sebuah Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan, selaras dengan dasar kerajaan untuk membangun dan memajukan pengeluaran daging lembu serta produk-produk daging tersebut.

Pada waktu itu, kerajaan mengagihkan pinjaman itu dalam tiga peringkat dalam akaun NFC, dari 9 Jan 2008 hingga 31 Mac 2009.

Pada masa sama melalui pinjaman itu, keluarga Mohamad Salleh yang mendapat kelulusan kerajaan telah membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta, dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Daripada jumlah tersebut (RM180.51 juta), hanya RM8.32 juta dibayar langsung kepada pihak ketiga untuk membiayai projek pusat cadangan nasional, manakala baki itu disalurkan ke akaun NFC lain, di mana RM118.04 juta telah disalahgunakan.

Daripada jumlah itu (RM180.51 juta) juga, sebanyak, RM9.76 juta didakwa disalahguna untuk membayar sebahagian dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh National Meat & Livestock Corp yang merupakan defendan keenam.

Pada masa sama, sejumlah RM300,000 telah digunakan untuk membayar kepada seorang individu iaitu Shamsubarin Ismail, bagi tujuan yang tidak didedahkan, selain RM1.8 juta telah dibayar kepada individu sama.

Keluarga Mohamad Salleh juga didakwa menggunakan pinjaman itu, untuk membayar sewa bulanan sebanyak RM28,000 kepada defendan ketiga, bagi sebuah lot pejabat di Solaris Mont Kiara.

NFC juga membayar sewa bulanan sebanyak RM8,240 untuk lot pejabat milik defendan kedua dan ketiga yang terletak di tempat sama.

Perbelanjaan lain yang besar termasuk RM3.36 juta untuk pembelian dua bidang tanah di Putrajaya dan RM1.51 juta kepada dua syarikat guaman, dengan sebahagiannya turut dibayar bagi pembelian sebuah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara oleh Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah. – BERNAMA


Pengarang :