KUALA LUMPUR, 18 Jun — Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin menjawab pertanyaan media pada Majlis Sambutan Hari Raya Risda 2019 di Ibu Pejabat Risda hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan lakukan terbaik untuk pulih ekonomi

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Kerajaan sedang melakukan yang terbaik muntuk memulihkan ekonomi negara dan melangkah maju ke depan, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, kerajaan bekerjasama rapat dengan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menangani perkara itu walaupun sedang menghadapi cabaran-cabaran ekonomi global.

“Kita sedang melakukan yang terbaik untuk memulihkan ekonomi dan melonjakkan ekonomi bagi memastikan bahawa ekonomi kita masih terus berkembang walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Saya fikir cabaran ada di mana-mana…bukan sahaja di Malaysia, kita bercakap mengenai cabaran global, kita bercakap soal perdagangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri RISDA di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar yang memetik pakar ekonomi terkemuka Dr Jomo Kwame Sundaram sebagai meminta rakyat Malaysia bersiap sedia untuk menempuh masa-masa sukar dalam menghadapi masalah ekonomi sebenar akibat persekitaran luar yang sukar dikawal yang semakin memburuk setiap hari.

Jomo dilaporkan berkata cabaran-cabaran ekonomi global itu adalah di luar kawalan dan rakyat perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi masa-masa yang sukar pada masa akan datang. – BERNAMA


Pengarang :