BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri ambil tindakan undang-undang ke atas pemilik kilang

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Negeri sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kilang yang dipercayai terbabit dengan insiden pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tindakan itu diambil di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas mengenal pasti pihak yang terbabit dengan insiden itu.

“Masalah pencemaran bau yang membabitkan LRA Sungai Semenyih berjaya dipulihkan sepenuhnya.

“Semalam kita sudah pastikan semua aliran diberikan dan dipulihkan sepenuhnya dan ini merupakan kali pertama selepas hampir setahun tidak berlaku pencemaran di Sungai Semenyih ini.

“Bagaimana pun kita hentikan juga walaupun secara asasnya ia tidak bahaya untuk digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, di Stadium JKR, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, ekoran pencemaran bau berkenaan, Loji Air di Labuhan Dagang yang baru beroperasi juga dapat mengawal aliran air dengan lancar.

“Ini bermakna jika terdapat gangguan di Semenyih, daerah Kuala Langat tidak terganggu,” katanya.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan bahawa Sungai Semenyih sedang mengalami pencemaran bau yang menjadi sumber air mentah bagi LRA Sungai Semenyih dan dihentitugas.


Pengarang :