NASIONALSELANGOR

Kerajaan Negeri tegas isu pencemaran bau Sungai Semenyih

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAJANG, 29 JUN : Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik sebuah kilang memproses minyak sawit yang menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih sekiranya hasil siasatan menemui bahan kimia berbahaya dalam insiden itu.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan Jabatan Kimia yang dijangka siap dalam tempoh seminggu.

“Sekiranya kami dapati ada yang menyalahi undang-undang, Kerajaan Negeri akan membawa kes ini ke mahkamah mengikut Akta Kualiti Alam 2009 yang boleh dihukum dengan denda maksimum RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Kertas laporan siasatan ini akan siap dalam tempoh seminggu sahaja lagi,” katanya kepada media selepas merasmikan Jelajah 360 Smart Selangor bertempat di Stadium Kajang, hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, ada pihak mencadangkan supaya kilang yang terlibat dengan pencemaran bau itu dipindahkan ke kawasan lain.

“Ini kerana lokasi kilang yang dibina lebih daripada 30 tahun itu terletak hanya kira-kira 500 meter sahaja daripada sungai,” katanya.

Terdahulu dilaporkan pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih rawatan itu terpaksa dihenti tugas.

Susulan itu, sebanyak 512 kawasan membabitkan sejumlah 377,141 pelanggan berdaftar di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, terkesan dengan gangguan bekalan air serta tekanan rendah.

Kerajaan Negeri sebelum ini turut mengesahkan insiden itu dikenal pasti berpunca dari sebuah kilang memproses sawit mentah kepada minyak sawit di sekitar kawasan sungai berkenaan.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga memulakan langkah pembendungan pencemaran dengan menggunakan ‘activated carbon’ (AC) dan pengambilan sampel dari kilang itu hingga ke Sungai Rinching sejauh 450 meter yang mengalir ke Sungai Semenyih.


Pengarang :