Selangorkini
ISKANDAR PUTERI, 18 Jun -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyaksikan Ahli Lembaga Pengarah Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd Boo Wei Ching (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn Bhd Marco Neelsen bertukar dokumen persefahaman selepas menandatangani Perjanjian Persefahaman antara PTP dengan Terberg Tractors dalam membekal traktor tanpa pemandu di Pelabuhan Tanjung Pelepas hari ini. Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kiri) dan Pengerusi The Royal Terberg Group, George Terberg (kanan). --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan rancang perluas kawasan pelabuhan negara

ISKANDAR PUTERI, 18 JUN: Kerajaan merancang memperluas kawasan pelabuhan di negara ini bagi menampung keperluan kapasiti yang tinggi masa kini dan akan datang, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, perancangan jangka masa panjang itu perlu bukan sekadar untuk menampung keperluan semasa malah supaya dapat memberi persaingan sihat kepada negara-negara jiran yang sedang membina kawasan pelabuhan lebih besar.

“Kerajaan sedia maklum dan menyedari mengenai keperluan pelabuhan untuk dibesarkan, dibangunkan dan dipertingkatkan termasuk di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor.

“Untuk membina dan membangunkannya, ia melibatkan banyak proses, antaranya mendapatkan kelulusan dan sebagainya tetapi kita (kerajaan) perlu menguruskan dan mempercepatkan proses tersebut supaya seiring dengan keadaan semasa dan kalau kita tidak mengambil langkah itu (memperluas kawasan pelabuhan) mulai sekarang kita tidak dapat bersaing,” katanya kepada pemberita di PTP, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PTP dan Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd (Terberg Tractors Malaysia) di Wisma A, PTP.

Loke berkata pembesaran kawasan pelabuhan penting kerana Malaysia mempunyai kelebihan strategik kerana kedudukannya terletak di Selat Melaka yang merupakan antara laluan paling sibuk di dunia.

“Kita memang ada pelabuhan-pelabuhan yang beroperasi dengan baik, mampu bersaing dengan pelabuhan ternama di dunia… kita bekerjasama dengan pihak operator seperti PTP dan MMC Group supaya mereka dapat terus melakukan lebih banyak pelaburan, untuk rancangan pembesaran ini.

“Pihak kerajaan pula akan memberikan sokongan dari segi dasar, kelulusan, permohonan, prosedur dan juga kerjasama. Semua pihak termasuk kerajaan pusat, kerajaan negeri, pihak pelabuhan perlu melihat ini sebagai satu kepentingan nasional supaya dapat besarkan pelabuhan dan memastikan pembangunan ini berjalan secara berterusan,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata terdapat keperluan untuk membesarkan PTP yang kini beroperasi mengendalikan sembilan juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun.

Dengan kapasiti PTP sekarang, ia boleh mengendalikan sehingga 12.5 juta TEU setahun, bagaimanapun ada potensi untuk mencapai kapasiti 12 juta TEU hingga 15 juta TEU sekiranya pembesaran pelabuhan dilakukan, katanya.

“Apabila pelabuhan itu diperbesarkan, kita juga dapat membangunkan industri logistik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Johor,” katanya yang turut menyatakan trend terkini membina kapal yang lebih besar boleh memuatkan kapasiti sebanyak 19,000 TEU hingga 21,000 TEU.

Sementara itu, Loke berkata MoU antara PTP dan Terberg Tractors Malaysia adalah untuk membekalkan traktor pintar tanpa pemandu di pelabuhan tersebut, ia merupakan usaha penambahbaikan dalam memastikan pelabuhan itu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, langkah itu juga dilihat dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga pekerja dan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing.

Loke berkata traktor pintar tanpa pemandu yang dijangka beroperasi dalam tempoh antara dua hingga lima tahun akan datang bakal mengubah pelabuhan negara menjadi “lebih pintar” dan lebih berdaya saing, seiring dengan perubahan masa dan keperluan trend masa kini. – BERNAMA


Pengarang :

Related posts

Bihun cap masjid, pengguna perlu waspada ciri Islamik dipergunakan

LRT Ampang : Kenyataan George Kent Hina Proses Bidaan Dan Perolehan Negara

admin

Kerajaan ‘gagal perang persepsi’, perlu lebih agresif