NASIONAL

Kerajaan teruskan inisiatif ambil alih konsesi lebuh raya lain

BUTTERWORTH, 23 JUN: Kerajaan akan meneruskan inisiatif mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya yang lain, sekiranya pengambilalihan empat lebuh raya bertol dan formula kutipan tol di lebuh raya itu berjaya, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya pengambilalihan empat syarikat konsesi lebuhraya bertol itu akan menjadi projek perintis, kepada usaha kerajaan meringankan bebanan rakyat, dengan mengurangkan kadar tol pada waktu-waktu tertentu.

“Pengambilalihan ini sebagai satu projek perintis di mana kita akan kurangkan (kadar tol) untuk waktu bukan puncak, ia akan diberikan secara percuma tanpa tol. Tapi untuk waktu-waktu lain akan lihat pengurangan daripada lima, 10, 15 hingga 30 peratus. Tapi untuk waktu puncak akan dikekalkan kadar tol sekarang.

“Jadi, itu sesuatu penambahbaikan yang amat ketara berbanding dulu. Kerajaan juga tidak perlu biayai kosnya, kerana apabila kita gunakan bon untuk biayai pembelian, pembelian balik akan dibiayai oleh kadar tol yang dikutip sungguhpun (kadar) dikurangkan (kerajaan) masih mampu untuk biayai kos ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang, di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng dalam kenyataan mengumumkan Kementerian Kewangan telah memberikan surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi lebuh raya dengan harga ‘’enterprise value’’ atau nilai wajar perusahaan berjumlah RM6.2 bilion.

Empat konsesi lebuhraya bertol itu yang Gamuda Bhd mempunyai kepentingan ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan juga memberi jaminan bahawa tiada kenaikan tol untuk tahun-tahun yang akan datang, dan pelaksanaan inisiatif itu di lebuh raya yang lain akan dibincangkan kemudian serta dilakukan secara berperingkat.

Sementara itu, Guan Eng berkata Kementerian Kewangan akan menambah 80 alat pengimbas di semua laluan pintu masuk seluruh negara.

Menurutnya, dengan penambahan alat pengimbas itu dapat membantu pihak Kastam, mengenal pasti dan memproses barangan yang tidak dibenarkan seperti plastik yang dibawa dari negara luar, masuk ke negara ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada pihak Kastam, yang mengalami kesukaran dalam menjalankan penguatkuasaan berikutan jumlah kontena yang masuk ke negara ini terlalu banyak.

“Kita harus berhati-hati kerana ini ada kesan yang besar ke atas alam sekitar dan kesihatan rakyat. Bila ia dibuka gas-gas dan toksik, haba-haba, yang bahaya akan keluar. Ini amat membahayakan.

“Bagaimana nak jalankan penguatkuasaan, itu satu masalah (ketiadaan pengimbas) oleh pihak Kastam yang saya rasa perlu dikaji dengan lebih teliti dengan kerajaan tempatan, kementerian alam sekitar dan pelbagai pihak,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :