NASIONAL

Kerajaan tubuh jawatankuasa kaji isu penggiat seni muzik

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Jawatankuasa Awal (Pro-tem) Muzik akan ditubuhkan untuk mengkaji isu membabitkan penggiat seni muzik, dalam masa sebulan dari sekarang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Katanya, jawatankuasa itu ditubuhkan selepas pertemuan bersama penggiat industri semalam, bagi mendengar pandangan dan cadangan mereka tentang masalah pembangunan industri muzik, serta terdapat keperluan mengawal selia pembangunan industri muzik.

Jawatankuasa itu akan terdiri daripada wakil industri muzik bagi merangka strategi ke arah pembangunan industri muzik negara, selain mengemukakan cadangan penubuhan satu badan khusus untuk menerajui industri dan penyediaan Dasar Industri Muzik Negara.

“Dalam sesi perjumpaan ini, banyak perkara dibangkitkan termasuk keluhan yang isu siaran kandungan muzik antarabangsa diberikan keutamaan berbanding dengan kandungan atau penerbitan tempatan, isu kewangan dan dana kebajikan penggiat seni serta pembayaran royalti, semuanya yang mana memerlukan perhatian segera.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa kementerian saya amat prihatin dengan perlunya tindakan segera diambil untuk memperkukuhkan industri muzik di negara kita. Saya juga mengambil maklum dengan semua perkara yang dibangkitkan termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi selaras dengan perubahan masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Gobind berkata beliau juga setuju bahawa dana yang berasingan perlu dipertimbangkan untuk pembangunan industri muzik dan akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dengan kadar segera.

Sementara itu, beliau berkata perjumpaan itu merupakan permulaan usaha kementerian untuk memperkasa industri muzik Malaysia dengan kerjasama penggiat-penggiat muzik di negara ini.

Katanya, banyak lagi pertemuan sebegini akan diadakan untuk memastikan semua pandangan dan cadangan daripada industri ini diambil kira, dalam perkara pembentukan perbadanan yang akan menerajui industri muzik dan membentuk Dasar Industri Muzik Negara.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa semua yang terlibat dalam industri ini akan membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya untuk kita bersama-sama menjayakan industri muzik kita,” katanya.

Perjumpaan yang bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Shakib Ahmad Shakir.

Lebih daripada 80 penggiat industri muzik yang terdiri daripada penyanyi, komposer, syarikat rakaman, label dan pengurusan, artis indie dan karyawan telah hadir ke sesi perjumpaan anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu.

-BERNAMA


Pengarang :