Selangorkini
NASIONAL

Kesedaran kanser masih kurang dalam kalangan belia

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Kesedaran berhubung pentingnya pemeriksaan awal bagi mencegah kanser masih kurang dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama mereka yang masih muda.

Pemandiri (survivor) kanser kolorektal, Choo Mei Sze berkata hal itu kerana golongan muda masih jahil dan beranggapan kanser tidak akan menyerang mereka.

Mei Sze, 27, didiagnosis menghidap kanser kolorektal namun bernasib baik kerana penyakit itu dapat dikesan pada peringkat awal.

“Semua orang berusia 20-an dan 30-an tidak akan fikir mengenai kanser kerana sibuk dalam urusan harian dan berusaha untuk mencapai kerjaya. Kesihatan adalah perkara terakhir dalam minda kita.

“Kita hanya menyedari kesan penyakit itu sebaik kita adalah pesakit dan kanser tidak membezakan umur. Anda boleh mendapat kanser walau pada usia apa pun,” katanya pada sidang media selepas melancarkan acara Relay for Life, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal adalah penting dan bukan hanya untuk mereka yang berumur.

Katanya, Penasihat Kehormat Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM), Datuk Zuraidah Atan menekankan kepentingan kempen dan program untuk mendidik belia serta kanak-kanak berhubung penyakit itu.

“Mereka lebih rela melarikan diri daripada penyakit itu daripada mengambil tahu dan mempunyai kesedaran. Itulah sebabnya kempen pendidikan dan program mengenai kanser adalah penting untuk mendidik mereka, “katanya.

Selain kempen, beliau berkata media sosial juga boleh menjadi alat yang efektif untuk menyebarkan maklumat berkenaan penyakit itu serta langkah pencegahan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi talian bantuan NCSM 1800-88-1000.

Relay for Life Kuala Lumpur (RFL KL) adalah acara terbesar bagi mengumpul dana yang dianjurkan NSCM untuk meraikan pemandiri kanser dan meningkatkan kesedaran berhubung penyakit itu.

-BERNAMA


Pengarang :