Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat Malaysia di Queensland.
NASIONAL

Kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan selamat

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan dilaporkan selamat susulan perkembangan politik dan keselamatan terkini di negara itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Malaysia di Khartoum telah berhubung rapat dengan semua warga Malaysia yang berdaftar termasuk 26 pelajar di Sudan dan memantau dengan teliti situasi.

“Semua rakyat Malaysia yang masih berada di Sudan, terutama yang berada di negara itu bagi urusan tidak perlu digalakkan untuk mempertimbangkan bagi meninggalkan negara tersebut secara komersial secepat yang mungkin.

“Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat Sudan dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan mereka sehingga keadaan lebih stabil,” kata Wisma Putra.

Pihak Kedutaan di Sudan juga mengalu-alukan persetujuan yang dicapai baru-baru ini antara Majlis Tentera Peralihan (TMC) dan Alliance of Freedom and Changes Forces (AFCF) untuk menyambung semula rundingan mengenai pembentukan majlis kedaulatan bersama yang akan menerajui peralihan politik di negara itu.

“Malaysia menggesa semua pihak di Sudan supaya bertenang sepenuhnya, mengelak daripada keganasan berterusan terhadap orang awam dan menghormati hak asasi manusia.

“Kami mengecam keras keganasan dan serangan terhadap penunjuk perasaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan kami bersama-sama pihak lain menggesa supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden itu sementara pelakunya harus bertanggungjawab,” kata Wisma Putra.

Media melaporkan bahawa kerajaan Sudan semalam mengaku ia telah memberi arahan bagi menumpaskan penunjuk perasaan dari pihak pembangkang yang menyebabkan puluhan orang terbunuh dan cedera.

Pada awal Jun, pasukan keselamatan secara keras telah menyuraikan protes di luar bangunan Kementerian Pertahanan. TMC sebelum ini menafikan bahawa ia mempunyai peranan dalam operasi itu. – BERNAMA


Pengarang :