SELANGOR

Ketua kampung teruja beraya bersama MB

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

BATU CAVES, 9JUN: Kecerian jelas terpancar pada wajah ketua-ketua kampung di kawasan Sungai Tua dan Batu Caves apabila menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersempena Ziarah Hari Raya Dato’ Menteri Besar hari ini.

Ketua Kampung Sungai Tua, Mejar (B) Ramli Jamaludin, 75, berkata, ia adalah satu program yang baik bagi menjalin silaturahim antara penduduk bersama Menteri Besar.

Katanya, dia rasa sungguh teruja apabila menerima kunjungan kali ketiga Menteri Besar selama tiga penggal dia menjadi ketua kampung.

“Seperti pada tahun sebelum ini, Menteri Besar Selangor akan hadir ke semua rumah ketua kampung di daerah mukim batu ini untuk beramah mesra bersama ketua kampung dan penduduk.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, atas kunjungannya ke rumah saya”, katanya.

Pada masa sama, Ketua Kampung Nakhoda Kiri, Ahmad Mohd Said, 59, berkata, budaya berkenaan harus diteruskan bagi mengenal dan merapatkan kesemua ketua kampung di kawasan berkenaan.

“Ini adalah kali pertama saya sebagai ketua kampung dan saya berasa bangga apabila menerima kunjungan MB ke rumah saya.

“Sebelum ini, MB akan datang beraya dari rumah ke rumah setiap ketua kampung dan pada kali ni saya berasa amat bertuah kerana saya dilantik menjadi ketua kampung”, katanya ketika ditemui MediaSelangor.


Pengarang :