SELANGOR

Khutbah Jumaat: Penabur fitnah orang paling keji

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JUN: Islam memandang serius perbuatan fitnah yang kini semakin berleluasa dan menyifatkan penabur fitnah sebagai orang paling keji.

Berdasarkan kandungan khutbah Jumaat bertajuk ‘Fitnah Membawa Punah’ yang dierbitkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan, Allah SWT menegaskan perkara itu di dalam al-Quran menerusi surah al-Qalam ayat 10 dan 11.

“Al-Quran dan hadis telah lama memperingatkan tentang bahayanya dan beratnya azab perbuatan fitnah.

“Sesungguhnya fitnah itu satu perbuatan keji dan diancam oleh Allah SWT dengan balasan azab yang pedih. Ini berdasarkan nas-nas syarak yang melarang dan mengeji perbuatan menyebar fitnah,” katanya.

Kandungan khutbah menyebut penabur fitnah juga bakal mendapat azab Allah SWT dan tidak akan masuk syurga.

Khatib turut menyatakan, penyebaran fitnah dalam kalangan masyarakat menjadi punca perpecahan dan perbalahan ummah yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Umat Islam turut diingatkan supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam dan jangan sesekali melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak termasuklah perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah.

“Kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa meyakini bahawa setiap perkataan dan perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.

“Umat Islam dilarang menyebarkan fitnah kerana fitnah boleh menimbulkan perpecahan dan perbalahan,” katanya.


Pengarang :