NASIONAL

Kilang roti buat penduduk Palestin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 JUN: Bukan calang-calang, Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakat) bergerak aktif sehingga mampu membina sebuah kilang roti untuk penduduk Gaza.

Penyelaras Bantuan Kemanusiaan Gaza Permuafakat, Mazzan Mat Desa berkata, kilang roti yang dinamakan Makhbaz Salahuddin mengambil nama sempena pahlawan Islam yang membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid Al Aqsa dari cengkaman empayar Rom.

Katanya, ia terletak di Salahuddin Street berhampiran kawasan Al Shajaya’a iaitu di timur Gaza, Palestin.

“Mempunyai keluasan seluas 250 meter persegi dengan tiga bahagian utama iaitu ruangan pameran, jualan dan ruangan pemprosesan serta ruangan simpanan bahan-bahan mentah.

“Di sana kami menggunakan mesin semi aautomatik, jadi tenaga pekerja seramai 10 orang sahaja diperlukan untuk mengendalikan kilang roti ini,” katanya.

Menariknya, kilang ini mampu mengeluarkan 50,000 unit roti dalam satu-satu masa.

Bukan itu sahaja, ia turut menghasilkan pastri, kek dan pelbagai produk yang berasaskan roti.

Ia juga dijual sekadar untuk menampung kos operasi sahaja, tetapi lebih penting apabila diberi percuma kepada keluarga yang telah dikenalpasti oleh rakan NGO di sana iaitu Palestin General Federation of Trade Union.

Mazzan berkata, Permuafakat mengambil masa selama hampir setahun untuk mengumpul dana dan menyiapkan projek berkenaan.

“Alhamdulillah kami berjaya mengumpul dana keseluruhan sebanyak USD 54,000.

“Kami mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang dari seluruh negara atas kepercayaan menyalurkan sumbangan kepada NGO kecil seperti kami,” katanya.

Permuafakat ditubuhkan pada 2010 dan ditubuhkan untuk membantu masyarakat dalam dan luar negara dari segi kebajikan, pendidikan dan juga kesihatan.

Bagi yang ingin terus membuat sumbangan boleh terus disalurkan ke akaun Maybank di atas nama Tabung Gaza 5573 4405 9089.


Pengarang :