NASIONAL

KKM nasihat jaga kesihatan sepanjang perayaan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan terutama di musim perayaan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai perlu mengamalkan cara hidup sihat dan amalan kebersihan diri yang baik sekali gus perayaan bersama insan tersayang dapat disambut dengan sempurna.

Katanya, persekitaran rumah juga perlu dijaga bagi mengelakkan pembiakan nyamuk yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit bawaan vektor antaranya denggi, chikungunya dan malaria.

“Oleh itu, KKM nasihatkan gunakan kesempatan berkumpul bersama sanak saudara untuk bersama membersihkan kawasan persekitaran selain mengeratkan tali silaturahim.

“Selain itu, apabila anda menyediakan juadah sentiasalah mengutamakan amalan kebersihan dan keselamatan makanan.

“Gunakan bahan mentah segar dan dimasak sempurna. Makan makanan dalam tempoh empat jam dari masa penyediaan serta amalkan konsep ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ bagi mengelak keracunan makanan,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, menziarah antara satu sama lain amalan rutin ketika perayaan namun dinasihatkan untuk kerap amalkan mencuci tangan bagi mengelakkan sebarang penyakit berjangkit daripada sentuhan.

Katanya, orang ramai juga disaran untuk mengawal kuantiti makanan diambil dengan melebihkan sayur dan buah-buahan, banyakkan minum air kosong, kurangkan makanan tinggi kandungan gula, lemak serta garam.

“Sementara itu, KKM ingin mengambil kesempatan menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan.

“Pandu dengan cermat dan tenang, kawal perasaan marah dan wujudkan suasana harmoni bersama keluarga semasa dalam kenderaan serta singah di mana-mana Rehat dan Rawat untuk rehat seketika,” katanya.

 


Pengarang :