KL Monorail: Tiga tren empat gerabak beroperasi Ogos | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

KL Monorail: Tiga tren empat gerabak beroperasi Ogos

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Tiga set tren empat gerabak KL Monorail akan beroperasi pada Ogos ini dan dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan kapasiti penumpang monorel yang dihadapi pengguna ketika ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, terdapat enam set tren dua gerabak sahaja yang sedang beroperasi setakat ini dan hanya mampu menampung 214 penumpang bagi setiap perkhidmatan.

“Sekarang ada enam set dua gerabak sahaja memang tak cukup, ada banyak aduan kita dengar (terima) tren sering sesak pada waktu puncak, keadaan tak selesa dan tak begitu baik kepada pengguna.


“Jadi dua set sedang dibaiki tapi kita perlukan minimum tiga set. Kalau dua set kita tidak ada tren tambahan, pengguna akan buat aduan, sebab itu kita janji bahawa isu monorel akan ditangani dan harap dapat beroperasi semula 16 Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut di depot monorel, di sini hari ini.

Loke berkata tambahan dua set tren lagi dijangka beroperasi pada November ini bagi memastikan kapasiti untuk monorel dapat dipertingkatkan dan mengembalikan jumlah penumpang monorel daripada sekadar 31,000 orang kepada 70,000 orang setiap hari.

Pada April lepas, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Scomi Transit Projects Sdn Bhd (STP) memeterai perjanjian peroleh dan baik pulih tren monorel di bawah perkhidmatan KL Monorail.

Menerusi perjanjian itu, STP akan membaik pulih lima set tren empat gerabak yang dihentikan perkhidmatan sejak Januari 2018 bagi tujuan pembaikan selain membekalkan tujuh lagi set tren yang baharu dalam tempoh 20 bulan.

Sejak 2015, operasi monorel menggunakan lima set tren empat gerabak dan enam set tren dua gerabak. Namun selepas perkhidmatan lima set empat gerabak dihentikan, ia kini beroperasi dengan enam tren dua gerabak sahaja.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next