SELANGOR

Komited pulihara alam sekitar

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 15 JUN: Kerajaan Negeri komited mempergiatkan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar daripada terus dicemari, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, bagi merealisasikannya, pelbagai program dilaksanakan untuk memberi pendekatan holistik khususnya kepada pelajar.

Katanya, pendidikan harus diberikan secara teori atau permainan bagi penjagaan alam sekitar kepada generasi baharu dengan melaksanakan tindakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam secara aktif serta ikhlas.

“Kami berharap ibu bapa sentiasa memberi pendedahan bersama anak dalam memupuk sikap yang positif terhadap usaha Kerajaan Negeri ini.

“Pada masa sama, saya menyeru para pelajar supaya mencintai bumi dengan menanam sikap menghargai barangan terbuang yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, tin kosong, kotan dan kertas.

“Saya percaya penerapan nilai murni harus sentiasa diberikan tumpuan dalam kalangan pelajar, bermula dengan si kecil, nilai positif ini dapat berkembang dan berterusan sehingga dewasa lalu melahirkan masyarakat cemerlang dan bermoral,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan ‘Cintailah Bumi Kita’ Program Perlindungan Alam Sekitar, di sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Marianie Abdul Rahman.

Program Cintailah Bumi Kita anjuran Persatuan Benih Hijau itu membabitkan lebih 100 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald.

Antara pengisian program berkenaan ialah permainan ‘station games’ yang menjadi landasan kepada mereka untuk mengetahui langkah penjagaan alam sekitar.


Pengarang :