Selangorkini
TANJUNG MALIM, 18 Jun — Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (depan, kiri) meninjau persekitaran landskap Taman Awam Ujana Muallim, Bandar Proton pada Program Lawatan Turun Padang Menteri Wilayah Persekutuan ke Bandar Belia Malaysia Tanjung Malim hari ini. Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Howard Lee Chuan How (kanan). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Konsep Bandar Belia Malaysia diperluas

TANJUNG MALIM, 18 JUN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berminat menyertai konsep perancangan bandar mesra belia di kawasan berpotensi untuk dibangunkan digalakkan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menteri bertanggungjawab Khalid Abdul Samad berkata pembangunan Bandar Belia Malaysia (BBM) Tanjung Malim yang lengkap dan memenuhi kehendak belia pada masa kini diharap menjadi penanda aras bagi perancangan bandar mesra belia di kawasan-kawasan lain pada masa depan.

“Setakat ini, antara projek perintis di kawasan lain yang sedang dibangunkan menerusi konsep ini ialah di Sabah (Tuaran), Sarawak (Lundu) dan Putrajaya,” katanya pada sidang media sempena lawatan Turun Padang ke Tapak Pembangunan BBM Tanjung Malim di sini hari ini.

Khalid yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) berkata Majlis Daerah Simpang Renggam turut menyatakan hasrat membangunkan Bandar Renggam sebagai salah satu bandar mesra belia yang pertama di wilayah selatan.

“Mereka boleh memohon dan menyatakan minat serta mengikuti taklimat dan program yang Tanjung Malim dijadikan sebagai penanda aras kerana ia yang terawal,” katanya.

Menurut Khadid, BBM merupakan satu konsep mengatasi masalah di hadapi oleh negara termasuk penghijrahan golongan muda dari kawasan pinggir bandar dan luar bandar ke bandar.

Dalam pada itu, Khalid turut mengadakan lawatan ke tapak projek Taman Rimba Bandar (Ujana Muallim) di Bandar Proton yang berkeluasan 15 hektar dan komponen-komponen BBM di sekitar Pusat Bandar Tanjung Malim.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd Daik berkata Ujana Muallim yang siap dibina pada April lepas dengan kos sebanyak RM9 juta merupakan sebahagian pembangunan Bandar Proton.

Ujana Muallim yang pada asalnya merupakan kawasan hutan sekunder turut dilengkapi kawasan perkhemahan, laluan ‘jungle tracking’, permainan kanak-kanak, menara tinjau, pondok pengawal, surau dan tandas. – BERNAMA


Pengarang :