GLOBAL

Korea Utara belum beri keputusan atasi wabak demam babi Afrika

SEOUL, 3 Jun : Korea Utara belum memberi sebarang reaksi balas, berhubung tawaran Korea Selatan untuk bekerjasama membendung penularan wabak demam babi Afrika, lapor agensi berita Yonhap, memetik Kementerian Perpaduan pada Isnin.

Bulan lalu, Korea Utara telah memaklumkannya kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan pada Khamis mengesahkan negara itu kini dilanda wabak demam babi Afrika yang dikesan di sebuah ladang di wilayah utara Jagang, bersempadan dengan China.

Pada Jumaat, melalui pejabat perhubungan antara Korea di bandar sempadan utara Kaesong, Korea Selatan mencadangkan kedua-dua negara bekerjasama untuk mengatasi masalah itu.

“Setakat ini, pihak kami belum mendapat sebarang maklum balas daripada Korea Utara,” kata jurucakap kementerian Lee Sang-min.

Sejak wabak itu mula dikesan di China pada Ogos, ia telah merebak ke negara jiran seperti Mongolia dan Vietnam.

Wabak itu dibimbangi memberikan kesan kepada sektor makanan Korea Utara ketika negara sedang mengalami masalah kekurangan makanan akibat sekatan yang dikenakan.

Program Makanan Sedunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian mengatakan, pengeluaran anaman Korea Utara tahun lalu mencapai paras terendah sejak 2008.

Sementara itu, Korea Selatan telah mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan sempadan dengan Korea Utara.

Kira-kira 350 ladang Korea Selatan yang terletak berhampiran sempadan diletakkan di bawah pemerhatian ketat, selain kementerian merancang menjalankan ujian darah di ladang ternakan dan keputusan dijangka dikeluarkan pada 7 Jun. -BERNAMA


Pengarang :