NASIONAL

KPDNHEP akan bentang pindaan Akta Perlindungan Pengguna 1999

 

KULIM, 29 Jun : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membentangkan pindaan Akta Perlindungan Pengguna 1999 pada persidangan Parlimen minggu hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pindaan itu berkaitan meningkatkan jumlah “award” RM25,000 kepada RM50,000 dalam Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) bagi membantu pengguna menuntut hak mereka sebaik mungkin sekiranya nilai kerugian melebihi RM25,000.

“Di bawah bidang kuasa Tribunal Tuntutan Pengguna, bidang kuasanya melayani satu aduan membabitkan award kepada pihak dituntut, maksimum RM25,000. Kalau Parlimen luluskan, award ke atas tuntutan pengguna yang mengadu ditipu sebagainya, kita naik sampai RM50,000,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNHEP di sini hari ini.

Untuk rekod, TTP adalah suatu badan adjudikasi bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Akta Pelin­dungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan mula berkuat kuasa pada 15 Nov, 1999.

Mengikut Seksyen 91, Akta 599, pengguna boleh membuat tuntutan kepada mana-mana individu atau syarikat berkaitan aduan membabitkan barang yang dibeli atau perkhidmatan yang digajikan itu selagi tuntutan berkenaan tidak me­lebihi RM25,000.

Saifuddin Nasution berkata, usaha kementeriannya untuk meminda akta itu juga sebagai antara langkah menangani kes penipuan dalam talian yang kini menduduki tempat kedua bagi kategori aduan pengguna diterima KPDNHEP dalam tempoh setahun ini.

“Terbaharu sekarang aduan penipuan dalam talian sudah menduduki nombor dua, yang pertama masih lagi kenaikan harga… yang mana penipuan dalam talian sekarang mencecah antara 23 hingga 24 peratus (daripada jumlah aduan diterima kementerian) dalam tempoh setahun ini,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan bilangan aduan membabitkan penipuan dalam talian itu selari dengan meningkatnya aktiviti perniagaan dalam talian yang semakin banyak pada masa ini. -BERNAMA


Pengarang :