KPN: IPCMC perlu serentak dengan jaminan hak PDRM | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

KPN: IPCMC perlu serentak dengan jaminan hak PDRM

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Penguatkuasaan undang-undang sesebuah negara akan pincang, jika anggota dan perkhidmatan polis boleh dibeli menerusi rasuah, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

“Jika kita ingin sampai ke tahap negara yang maju, kita mesti mempunyai sistem perkhidmatan kepolisan yang baik, setimpal.

“Kita lihatlah negara-negara yang maju seperti di Eropah, Jepun, Korea, Hong Kong, bagaimana polis memberikan perkhidmatan yang baik kepada negara mereka,” katanya dalam temuramah ekslusif bersama Bernama di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.


Beliau berkata sehubungan itu cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) harus berjalan serentak, iaitu dengan apa yang diberi oleh perkhidmatan polis dan menyediakan hak-hak warga pasukan keselamatan itu.

Beliau berkata IPCMC mula disuarakan selepas tahun 2015, apabila ada suara-suara yang berkehendakkan satu bentuk siasatan dijalankan ke atas PDRM, berikutan terlalu banyak aduan dan salah laku.

“Memang ketika itu berkemundang di mana-mana sahaja, di situ, saya secara peribadi mengatakan bahawa suara-suara yang mengkritik ini memang ada asasnya, tetapi di waktu itu juga saya merasai bahawa PDRM ini perlu diberikan haknya, sebagaimana dalam kontrak kami dengan kerajaan.

“Kerajaan menawarkan kami skim perkhidmatan sebegini, kerajaan menawarkan suasana kebajikan begini, kerajaan akan menyediakan prasarana begini, jadi kedua-dua ini akan berjalan dengan serentak.

“…iaitu PDRM dibela dan diberikan hak-haknya sebagai agensi penguatkuasa utama negara ini, dan pada waktu sama menjadi tanggungjawab PDRM memberikan kepada rakyat, orang ramai perkhidmatan yang terbaik, sebagaimana yang ditetapkan undang-undang itu sendiri,” katanya.

Abdul Hamid berkata adalah tidak tepat mengatakan bahawa rayuan dalam PDRM berhubung IPCMC itu, begitu sentimental dan emosional.

Beliau berkata bagaimanapun warga PDRM harus faham dan sedar bahawa mereka diberikan gaji, kuasa serta pelbagai kemudahan, dan sebagai balasannya mereka diwajibkan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“…akibat dan kesan pelaksanaan undang-undang yang baik, orang ramai dapat menjalankan urusan harian mereka dengan penuh selamat dan negara akan bertambah maju,” katanya.

Pada 10 Mei lepas, media melaporkan PDRM bersetuju dengan penubuhan IPCMC, dengan jaminan peranan dan kuasa polis tidak akan terhakis dan keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara PDRM dan Pusat Tadbir Urus Negara, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) yang dihadiri oleh Abdul Hamid serta pegawai tertinggi jabatan dan persatuan dalam PDRM.

Ketua Pengarah GIACC Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata semasa perbincangan diadakan perkara-perkara yang menjadi perhatian pihak polis telah dijelaskan. – BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next