SELANGOR

Kreatif, inovasi ‘ramuan’ KDEBWM raih kejayaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Berfikiran kreatif dan berinovasi antara ‘ramuan’ utama KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) merangkul anugerah bagi kategori ‘Smart Waste Solutions Company Of The Year’ tahun kedua berturut-turut, pada malam Anugerah Amalan Baik Asia Pasifik Frost & Sullivan 2019.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, syarikat milik Kerajaan Negeri itu juga mengamalkan pendekatan sentiasa mengambil berat aset terpenting syarikat iaitu warga kerjanya.

“Pelbagai inovasi baru kita perkenalkan, antaranya aplikasi membolehkan penduduk tahu bila sampah dikutip, kenapa sampah tidak dikutip, jenis sampah dikutip atau tidak dikutip.

“Kita juga perkenalkan aplikasi untuk mengesan jadual lori selain mengambil berat aset terbesar iaitu pekerja berhubung isu keselamatan, tempat tinggal yang akhirnya mewujudkan situasi mengambil berat antara satu sama lain antara syarikat dengan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Hotel Hilton Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Raja Shahreen yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor berkata, amalan dipraktikkan KDEBWM selaras visi Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai ‘Smart State’ menjelang 2025.

Katanya, kejayaan itu satu lagi bukti kemampuan KDEBWM mengembangkan sayap perkhidmatannya ke negeri lain jika diberikan peluang.

“Walaupun KDEBWM lebih agresif pada 2016 tetapi dalam masa singkat berjaya mengatasi syarikat pesaing yang jauh lebih lama terbabit dengan perkhidmatan pelupusan sisa pepejal,” katanya.


Pengarang :