NASIONAL

KTMB: Tren tambahan sempena Aidiladha

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 JUN: Bersempena kedatangan Aidiladha, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan tambahan dua unit tren elektrik (ETS) bagi laluan antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan Stesen Butterworth , mulai 16 Julai ini.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, antara tren tambahan terbabit adalah tren ETS 9120 dari Stesen Kuala Lumpur Sentral ke Butterworth dan tren ETS 9107 bagi destinasi sebaliknya.

“Selain itu, perubahan jadual membabitkan waktu pengoperasian ETS sehingga 31 Oktober turut diumumkan.

“Perubahan membabitkan waktu berlepas dan ketibaan tren untuk memastikan perkhidmatan ETS tidak terjejas susulan pelaksanaan projek menaik taraf sistem serta infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan tiket bagi jadual baharu akan mula dijual pada 2 Julai ini bermula 10 pagi.

Oleh itu, KTMB menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perubahan jadual perjalanan melalui laman sesawang www.ktmb.com.my, Facebook KTM Berhad, Instagram ktmbofficial, Twitter @ktm_berhad atau Pusat Panggilan KTMB di 03-22661200.


Pengarang :