–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kuala Koh : Seorang anggota polis disah demam campak

 

KOTA BHARU, 30 Jun : Polis Kelantan mengesahkan seorang anggota yang terlibat pada Ops Bateq di perkampungan Orang Asli suku Bateq, Kuala Koh mengalami demam campak selepas Ops berkenaan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata anggota terbabit yang bertugs di Ibu Pejabat (IPD) Gua Musang disahkan demam campak selepas menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

“Semasa Ops terbabit, anggota berusia 30an itu ditugaskan sebagai jurugambar di lokasi kejadian.

“Operasi ditamatkan pada 23 Mei dan keesokan hari dia tidak sihat dan disahkan oleh pihak hospital mengalami demam campak,” katanya pada majlis Sambutan Hari Raya pejabat Bernama Kelantan di sini, hari ini.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak yang meragut nyawa 15 Orang Asli Suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang dan mengakibatkan lebih 100 menerima rawatan di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab ll, adalah demam campak.

Mengenai demam campak yang menjangkiti anggota polis berkenaan, Hasanuddin berkata ia adalah demam campak biasa dan bukan yang dijangkiti masyarakat Orang Asli di perkampungan terbabit.

“Ia hanya demam campak baisa.. setakat ini anggota itu masih dirawat di hospital Gua Musang dan dilaporkan stabil.

“Di kawasan perkampungan itu pihak kami masih mengistiharkan sebagai zon merah sehingga diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk mengisytiharkan zon bebas,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :